Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Low Thia Khiang, Ng Chee Meng bahas tentang waktu sesuai kenaikan GST diumumkan

"Mana mungkin anda mengaup segalanya," Encik Ng memberitahu Encik Low.

Anggaran Waktu Membaca:
Low Thia Khiang, Ng Chee Meng bahas tentang waktu sesuai kenaikan GST diumumkan

Low Thia Khiang dan Ng Chee Meng berbahas di Parlimen.

Diterbitkan : 28 Feb 2018 11:04PM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 11:08PM

SINGAPURA: Meskipun beliau menyifatkan Belanjawan tahun ini sebagai memandang ke hadapan yang menjadi asas kukuh bagi Singapura pada masa akan datang, Pemimpin Parti Pekerja (WP) Low Thia Khiang tidak bersetuju dengan pengumuman Pemerintah mengenai kenaikan cukai barangan dan khidmat (GST).

Beliau berkata ia adalah "gangguan yang tidak diperlukan".

Komen beliau kemudian menerima respons Menteri Pendidikan (Sekolah) Ng Chee Meng, yang menyifatkannya sebagai "membingungkan".

Encik Low sebelum itu berucap panjang lebar mengenai langkah Pemerintah yang mengenal pasti dengan tepat kesan perubahan-perubahan besar ekonomi global kepada Asia serta kemunculan teknologi-teknologi baru.

Beliau berkata nadi perubahan itu adalah China dan Singapura perlu "menjadikan negara ini berguna" dalam kapitalisme global seperti yang dilakukan semasa kebangkitan Barat 50 tahun lalu.

Beliau berkata meskipun Singapura perlu mencari cara untuk mengubah ekonomi dan modal insannya serta menekankan pembelajaran bahasa Mandarin untuk membantu menghubungkan kedua-dua negara, penting juga untuk ingat bahawa Singapura adalah sebuah negara berbilang kaum dan bahasa terlebih dahulu.

Encik Low juga menyentuh tentang kuasa China yang semakin kuat, sambil menambah tindakan negara itu "akan mewujudkan kesan serius ke atas negara-negara kecil seperti Singapura".

"Saya menghargai kenyataan visi Pemerintah dan pembentangan bahawa Singapura perlu menetapkan kedudukannya secara strategik dalam era baru ini," kata Encik Low.

Namun beliau berkata masa yang dipilih Pemerintah untuk mengumumkan kenaikan GST sebagai sebahagian daripada Belanjawan adalah terlalu awal.

"Yang tidak sesuai tentang belanjawan ini adalah ia terlalu terburu-buru memandang pada masa akan datang untuk memperoleh pendapatan dengan mengumumkan kenaikan GSt terlalu awal," kata beliau.

"Ini menjadi gangguan yang tidak diperlukan daripada visi yang dibentangkan dalam Belanjawan ini dan ia benar-benar satu gangguan, menyebabkan Pemerintah hilang tumpuan untuk mendapatkan persetujuan bagi visi tersebut. Ini kerana ia perlu menjelaskan tentang kenaikan GST itu."

Beliau menggesa Pemerintah supaya jangan membiarkan peluang untuk menerajui visi tersebut "menjadi sia-sia".

NG CHEE MENG: "MANA MUNGKIN ANDA MENGAUP SEGALANYA"

Encik Ng kemudian memberikan respons kepada Encik Low sebelum Parlimen ditangguhkan buat hari ini.

Menurut Encik Ng, meskipun beliau tidak berniat untuk berucap, beliau "berasa amat bingung" mendengar ucapan para AP WP.

"Saya mendengar daripada ucapan-ucapan yang berasingan bahawa mereka pada asasnya bersetuju dengan kebanyakan program yang diusulkan dalam Belanjawan," kata beliau.

"Malah, mereka mahu Pemerintah melakukan lebih banyak lagi: Dalam pendidikan, jagaan warga tua, untuk kaum wanita dan orang kurang bernasib baik. Dalam ucapan salah seorang anggota, beliau menekankan tentang ketidaksamaan dan menekankan bahawa ia adalah ancaman kepada negara dan kita perlu 'mengambil langkah-langkah kukuh untuk membetulkannya'."

Encik Ng menambah: "Parti Pekerja bersetuju dengan kebanyakan usulan Belanjawan. Encik Low Thia Khiang bersetuju bahawa ia adalah Belanjawan yang memandang ke hadapan dan menjadi asas kukuh bagi Singapura pada masa akan datang, namun Parti Pekerja menyatakan GST adalah satu gangguan."

Encik Ng berkata Pemerintah sudah membentangkan "Belanjawan kukuh, memandang ke hadapan supaya kita boleh mengadakan semua program ini untuk rakyat Singapura".

Beliau berkata Belanjawan menggariskan bagaimana Pemerintah menjaga warga tua, mempersiap kanak-kanak dengan lebih baik untuk masa depan dan juga mempersiap perniagaan-perniagaan dan pekerja di tengah-tengah perubahan dan gangguan teknologi.

"Namun selepas semua ucapan yang saya dengar dengan teliti dalam dewan ini, Parti Pekerja menganggap mencari cara untuk membiayai semua program ini sebagai gangguan," kata beliau.

"Mereka bersetuju dengan program-program itu tetapi bercakap tentang bagaimana untuk membiayainya adalah gangguan. Saya rasa ini membingungkan. Saya berpendapat bahawa ini penting, saya rasa ini adalah langkah jujur, saya rasa ini cara yang betul iaitu kita menggariskan kepada rakyat Singapura, bagaimana kita akan melakar masa depan Singapura dengan lebih mampan."

Memberikan respons beliau, Encik Low berkata beliau berpendapat isu penting dalam Belanjawan tahun ini adalah untuk meletakkan Singapura dalam kedudukan stabil.

"Anda boleh mengumumkan tentang kenaikan GST dua peratus (antara tahun 2021 dengan 2025) pada bila-bila masa," kata Encik Low.

"Kita boleh berbahas sepenuhnya di sini tetapi saya terfikir sama ada ia lebih baik diumumkan pada waktu berasingan dan membahaskannya di sini atau (membahaskannya sebagai sebahagian daripada) belanjawan."

Encik Low menambah partinya tidak mengusulkan Pemerintah untuk membiayai semuanya tanpa mencari cara-cara lain.

"Apa yang kami katakan dan persoalkan adalah sama ada terdapat cara lain untuk diteliti selain menaikkan GST kerana ia menjejas begitu ramai orang dan kami meninjau sama ada terdapat kemungkinan bagi cara lain untuk memperoleh pendapatan seperti yang disuarakan oleh beberapa AP," ujar Encik Low.

"Maksud saya, ini adalah Belanjawan penting dan Belanjawan yang lebih memandang ke hadapan tapi (pengumuman) kenaikan GSt itu menjadi satu gangguan kerana kita akhirnya berbahas tentang sama ada perlu untuk menaikkan GST."

Encik Ng menjawab sambil memetik apa yang pernah dikatakan Encik Low semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) tahun lalu.

"Saya petik 'Saya berharap beliau - Menteri Kewangan - boleh lebih telus dengan rakyat Singapura sekarang supaya mereka tidak 'dikejutkan' oleh Pemerintah seperti mana mereka terkejut dengan kenaikan harga air sebanyak 30 peratus secara tiba-tiba'," kata Encik Ng.

"Mana mungkin anda mengaup segalanya," Encik Ng memberitahu Encik Low.

Encik Low kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak berkata Pemerintah perlu "menyembunyikan kenaikan GST itu".

"Silakanlah, umumkannya lebih awal sebelum ia dinaikkan. Bagus ia diumumkan awal tetapi persoalannya adalah sama ada anda perlu mengumumkannya dalam Belanjawan ini - ia satu isu berlainan."

Menggulung perbahasan itu, seluruh dewan bergema dengan gelak ketawa apabila Encik Low berkata pilihan raya seterusnya mungkin diadakan pada tahun 2020 atau 2021 dan kenaikan itu mungkin boleh dibahaskan semasa rapat pilihan raya. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan