Skip to main content

Singapura

Lorong berbasikal di Seletar setiap Ahad dikekalkan susuli kejayaan uji cuba 6 bulan

Anggaran Waktu Membaca:
Lorong berbasikal di Seletar setiap Ahad dikekalkan susuli kejayaan uji cuba 6 bulan

Pengayuh basikal di West Camp Road. (Gambar: LTA)

SINGAPURA: Para pengayuh basikal akan terus mempunyai lorong khusus berbasikal di jalan raya di kawasan timur laut Seletar, namun hanya pada pagi Ahad sahaja. 

Lorong Berbasikal Ahad di West Camp Road akan dikekalkan menyusuli kejayaan percubaan yang dimulakan sejak Oktober tahun lalu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Sabtu (15 Apr). 

Lorong sepanjang 4.6 kilometer itu ditandakan dengan garis biru dan hanya boleh digunakan oleh bas serta pengayuh basikal pada setiap hari Ahad, antara pukul 5.00 pagi hingga 11.00 pagi. 

Satu lagi lorong berbasikal yang dikhususkan di jalan raya adalah di Tanah Merah Coast Road. 

LTA kini sedang mengkaji tempat-tempat lain yang berpotensi melaksanakan skim tersebut, di mana ruang khusus di jalan raya akan diperuntukkan bagi para pengayuh basikal di kawasan-kawasan dengan jumlah lalu lintas kenderaan yang rendah. 

Penguasa itu menyatakan sepanjang uji cuba selama enam bulan di West Camp Road, ia memerhatikan bahawa "hampir semua" pengguna jalan raya mematuhi lorong yang diperuntukkan semasa waktu operasi dan keadaan lalu lintas serta operasi bas terus berjalan dengan lancar. 

Tinjauan di lapangan turut mendapati skim tersebut mendapat sokongan dan ia menyediakan "peruntukan ruang yang lebih baik antara pengayuh basikal dengan pengguna jalan raya", menurut LTA. 

Beberapa pengayuh basikal yang ditemui Mediacorp pada awal uji cuba itu tahun lalu turut mengalu-alukan langkah tersebut dan menyifatkan kawasan tersebut sebagai satu tempat popular. 

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, LTA menarik perhatian, sebagaimana sewaktu dilakukan semasa fasa uji cuba, pengayuh basikal yang menggunakan lorong dikhususkan itu sewaktu waktu operasi pada hari Ahad tidak akan tertakluk kepada had saiz kumpulan. 

Ia merujuk kepada peraturan yang diperkenalkan pada 1 Januari 2022, di mana kumpulan berbasikal di jalan raya dihadkan kepada lima pengayuh basikal dalam satu baris. 

Lorong berbasikal di West Camp Road ditandakan dengan garis biru, kecuali di persimpangan dan tempat masuk ke bangunan - di mana lorong itu ditandakan dengan garis biru bertitik dan garis merah melintang yang tebal, menurut LTA. 

Pengguna jalan raya dibenarkan menggunakan kawasan-kawasan itu untuk keluar masuk West Camp Road sewaktu waktu operasi lorong berbasikal itu. 

Pengguna jalan raya diingatkan supaya keluar masuk lorong itu dengan berjaga-jaga kerana pengayuh basikal dan bas mungkin menggunakan lorong berkenaan, tambah LTA. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita