Lonjakan skim penipuan naikkan jumlah keseluruhan kes jenayah S'pura pada 2021

(Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Kadar jenayah di Singapura meningkat, dengan jumlah kes yang dilaporkan naik hampir 24 peratus berbanding 2020, didorong oleh lonjakan kes skim penipuan, menurut polis hari ini (16 Feb).
Daripada 46,196 kes yang dilaporkan pada 2021, lebih separuh, atau 23,931 kes, melibatkan skim penipuan, naik berbanding 2020 apabila skim penipuan hanya merangkumi kira-kira 40 peratus jumlah kes.
Perangkaan pada 2021 itu juga menandakan lonjakan 53 peratus daripada 15,651 kes penipuan pada 2020.
"Para penipu sentiasa mengubah taktik mereka dan mengambil kesempatan terhadap keadaan COVID-19 untuk memanfaatkan kegiatan online yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat awam serta perasaan lebih mudah terjejas dan tidak menentu mereka," menurut polis.
Oleh sebab itu, kadar jenayah secara keseluruhannya juga naik kepada 847 kes bagi setiap 100,000 individu pada 2021, naik daripada 656 kes bagi setiap 100,000 individu pada 2020.
SKIM PENIPUAN PEKERJAAN PALING BANYAK
Kebanyakan kes skim penipuan yang dilaporkan tahun lalu berhubung kait pekerjaan, dengan 4,554 kes dilaporkan tahun lalu, naik daripada hanya 132 kes yang dilaporkan pada 2020.
Jumlah yang ditipu melambung kepada sekitar S$91 juta pada 2021, naik daripada sekurang-kurangnya S$217,000 tahun lalu.
Polis mencatatkan empat jenis utama skim penipuan pekerjaan, dengan satu contoh memerlukan mangsa memuat turun aplikasi telefon untuk mendapatkan pekerjaan dan menokok dana ke dalam akaun mereka.
Setelah dijanjikan komisen atas pelaksanaan tugas, akaun mereka akan menunjukkan kenaikan jumlah. Namun, mangsa tidak boleh mengeluarkan wang tersebut.
Selain skim penipuan pekerjaan, skim pancingan data tidak berhubung kait perbankan, pelaburan, pinjaman wang dan pancingan data berhubung kait perbankan juga "masih kekal sebagai keprihatinan," menurut polis.
Jumlah kes yang dilaporkan untuk enam jenis skim penipuan itu naik hampir seganda berbanding 2020.
Secara keseluruhannya, jumlah yang ditipu bagi sepuluh jenis skim penipuan naik kepada S$504.4 juta tahun lalu, daripada S$175.2 juta pada 2020.
JUMLAH KES JENAYAH FIZIKAL MEROSOT
Namun, jumlah kes jenayah secara fizikal merosot pada 2021.
Terutama sekali, dua jenis jenayah merosot kepada rekod terendah dalam 37 tahun. Pecah masuk rumah dan jenayah-jenayah berkaitan jatuh hampir 24 peratus kepada 160 kes, manakala rompakan dan jenayah-jenayah berkaitan jatuh lapan peratus kepada 6,843 kes.
Polis menyatakan kebanyakannya disebabkan "usaha pencegahan jenayah dan pemantauan pihak polis, serta penggunaan teknologi untuk menghalang jenayah".
LEBIH BANYAK KES CABUL KEHORMATAN
Bagi jumlah kes cabul kehormatan, perangkaan naik 12 peratus dan mencecah 1,480 kes pada 2021. Polis menyatakan kenaikan itu sebahagiannya disebabkan jumlah kes lebih rendah pada 2020 akibat tempoh pemutus litar.
Secara keseluruhannya, kes cabul kehormatan merangkumi lebih 42 peratus daripada kesemua kes jenayah seks yang dilaporkan pada 2021, tambah polis.
Polis juga menarik perhatian bahawa jumlah kes yang berlaku dalam sistem pengangkutan awam "masih membimbangkan". Pada 2021, terdapat 148 kes sedemikian dalam sekitaran pengangkutan awam, melibatkan penjenayah yang tidak diketahui oleh mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.