Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lonjakan monsun dari 10-14 Jan 'antara paling lama dan lebih kencang': Jabatan Kaji Cuaca SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hujan berterusan dan kelajuan angin yang meningkat secara mendadak baru-baru ini, menjejas Singapura dan kawasan sekitarnya, adalah "salah satu fenomena lonjakan monsun lebih lama dan kencang sejak beberapa tahun lalu", menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Selasa (14 Jan).

Fenomena itu, yang bermula pada Jumaat dan hanya mula melemah pada Isnin, membawa hujan sederhana hingga lebat, berserta guruh secara berkala, jelas MSS.

Lonjakan monsun merujuk kepada kelajuan angin yang semakin meningkat di Laut China Selatan, menyebabkan lebih banyak awan hujan di kawasan itu.

Jumlah keseluruhan hujan harian di seluruh negara secara purata adalah antara 44.4 milimeter (mm) hingga 120.2 mm sepanjang empat hari itu, dengan Jumaat mencatat purata jumlah hujan tertinggi sebanyak 120.2mm.

Perangkaan ini dikira berdasarkan 32 stesen di seluruh negara dengan rekod hujan berterusan sejak 1980.

Bahagian utara dan timur Singapura mengalami hujan paling lebat di Singapura semasa tempoh itu, menurut MSS.

Pulau Tekong mencatat jumlah hujan harian tertinggi sebanyak 241.8mm pada Jumaat, mengatasi rekod sebelum ini sebanyak 238.2mm pada 30 Januari 2011.

Bagi kesemua stesen di seluruh negara, suhu minimum harian yang dicatatkan biasanya sekitar 22 hingga 24 darjah Celsius, dengan suhu paling rendah, 21.6 darjah Celsius dicatat di Newton pada Sabtu.

Suhu minimum harian paling rendah pada Januari kekal pada 19.4 darjah Celsius, yang dicatat di Mount Faber pada 30 Januari dan 31 Januari 1934.

Suhu maksimum harian semasa lonjakan monsun terbaharu ini adalah sekitar 25 hingga 29 darjah Celsius.
JUMLAH HUJAN SEJAK BEBERAPA TAHUN LALU

MSS juga menarik perhatian bahawa jumlah purata hujan harian di seluruh negara pada Jumaat adalah 120.2mm, sekali gus ketiga tertinggi sejak beberapa tahun lalu.

Purata hujan harian tertinggi di seluruh negara sejak lima tahun lalu adalah 154.2mm pada 28 Februari 2023, disusuli dengan 135.6mm pada 2 Januari 2021.

"Secara purata, Singapura mengalami antara dua hingga empat lonjakan monsun setiap tahun, dengan setiap kejadian berlarutan antara satu hingga lima hari," tambah MSS.

Dari Jumaat hingga Sabtu, Changi mencatat jumlah keseluruhan hujan tertinggi pada 255.2mm.

Jumlah ini adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah hujan bulanan purata Singapura pada Januari, menurut agensi air negara PUB.

Banjir berlaku pada Jumaat lalu di Jalan Seaview menyusuli "hujan lebat yang berlaku serentak dengan air pasang", tambah PUB.

Sebanyak 12 penerbangan juga dilencongkan dari Lapangan Terbang Changi disebabkan lonjakan monsun dan hujan berterusan di Singapura.

Penerbangan itu yang dikendalikan pelbagai syarikat penerbangan, terbang dari destinasi termasuk Bangkok, Jakarta, Phuket dan Shanghai, jelas Changi Airport Group (CAG) pada Isnin.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan