Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lonjakan kes denggi dek banyak nyamuk, serotip DENV-3 muncul semula

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedang jumlah kes denggi terus naik di Singapura, kemungkinan berlaku penularan besar tahun ini semakin meningkat.

Setakat minggu yang berakhir pada 9 April, sebanyak 3,979 kes dicatatkan tahun ini. Jumlah itu berbeza dengan 5,258 kes pada 2021.

Sebanyak 644 kes denggi dicatatkan dalam minggu yang berakhir pada 9 April - tertingi yang pernah dicatatkan pada masa ini dalam tempoh empat tahun yang lalu. Ini termasuk semasa berlaku penularan besar pada 2020, yang mencatatkan 35,315 kes.

Para pakar mengaitkan lonjakan itu kepada beberapa faktor. Faktor yang paling utama adalah kenaikan jumlah nyamuk dan kemunculan semula serotip virus DENV-3.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjelaskan bahawa jumlah nyamuk Aedes aegypti dalam kalangan masyarakat meningkat 48 peratus lebih tinggi pada Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Agensi itu mendedahkan bahawa data itu diperolehi daripada rangkaian pemantauannya ke atas perangkap gravitraps yang diedarkan di seluruh pulau.

Gravitraps direka untuk menarik dan memerangkap nyamuk Aedes aegypti betina yang mencari tempat untuk bertelur.

Pemeriksaan juga mendapati bahawa pembiakan nyamuk Aedes naik seganda dari Februari hingga Mac tahun ini.

Cuaca panas juga sudah menyingkatkan tempoh pengeraman nyamuk lantas meningkatkan jumlah nyamuk.

SEROTIP "BUKAN BIASA"

Virus denggi serotip 3 (DENV-3) yang bukan serotip biasa sebelum ini menular secara meluas.

Virus itu merupakan jenis denggi yang paling banyak dikesan di Singapura, diikuti oleh DENV-2, kata Timbalan ketua eksekutif NEA Chew Ming Fai.

Dr Jolene Oon, pakar penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH), memberitahu Mediacorp bahawa "penularan meningkat" virus denggi serotip DEN-3 (DENV-3) bermakna kurang imuniti dalam masyarakat.

Walaupun pemulihan daripada satu serotip virus denggi memberikan imuniti sepanjang hayat terhadap serotip tersebut, namun tidak bermakna ia memberikan jaminan imuniti terhadap serotip lain.

Keadaan menjadi lebih teruk ketika orang ramai bekerja dari rumah semasa pandemik COVID-19 kerana nyamuk Aedes aegypti lazimnya aktif pada siang hari. Ini sekali gus, meningkatkan lagi kecenderungan individu untuk dijangkiti, tambah Encik Chew.

KEADAAN LEBIH TERUK PADA MASA HADAPAN?

Dengan musim kemuncak tradisional denggi dari bulan Jun hingga Oktober yang mendatang, para pakar memberi amaran tentang kemungkinan keadaan yang lebih teruk.

Namun Encik Chew menegaskan bahawa ini tidak bermakna bahawa penularan besar pada 2020 akan berulang lagi atau sudah berlalu.

Sebaliknya, beliau berkata bahawa NEA berharap dapat menangani isu berkenaan sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Apa yang penting adalah untuk merapatkan jurang antara kesedaran dan tindakan dalam kalangan orang ramai, kata Encik Chew.

Dengan itu, NEA akan melancarkan kempen tahunan Pencegahan Denggi Kebangsaan lebih awal daripada biasa.

NEA juga sudah mengambil langkah tambahan untuk menyediakan sepanduk berwarna ungu bagi amaran denggi, yang akan dipasang di kawasan yang mempunyai jumlah tinggi nyamuk Aedes aegypti.

NEA juga akan meningkatkan jumlah pemeriksaan. Dari Januari hingga Februari, NEA sudah menjalankan kira-kira 101,000 pemeriksaan bagi pembiakan nyamuk di seluruh negara, termasuk kira-kira 1,070 pemeriksaan di tapak binaan. Kira-kira 2,600 tempat pembiakan nyamuk ditemui, menurut agensi itu.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan