Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Longkang tersumbat punca banjir di bahu jalan BKE

Anggaran Waktu Membaca:
Longkang tersumbat punca banjir di bahu jalan BKE

(Gambar: bxw_vezel21/TikTok)

Diterbitkan : 09 Nov 2022 09:18AM Dikemas Kini : 09 Nov 2022 10:42AM
SINGAPURA: Banjir yang berlaku di sepanjang bahu jalan Ekspreswe Bukit Timah (BKE) pada lewat petang Isnin (7 Nov), disaksikan dalam sebuah rakaman video tular di wadah media sosial TikTok, berpunca daripada serpihan menyelubungi kekisi longkang.

Keadaan itu menghalang air hujan untuk mengalir dari jalan raya ke sistem saliran, menerusi ruang salur masuk yang dipasang bersebelahan bebendul jalan, lantas menyebabkan banjir berlaku.

Ketika menjawab pertanyaan Mediacorp, agensi air negara PUB menyatakan pada Selasa malam (8 Nov) bahawa pihaknya menerima maklum balas daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sekitar pukul 7.20 malam pada Isnin (7 Nov) bahawa air hujan bertakung di kawasan sepanjang 100 meter di bahu jalan BKE berhampiran dengan susur keluar Kranji Exit 8.

PUB menarik perhatian hujan lebat mencurah di banyak kawasan di serata negara pada Isnin, bermula dari lewat tengah hari hingga waktu senja.

PUB menyatakan siasatan yang dijalankan selepas banjir mendapati bahawa kekisi longkang di bahagian ekspreswe tersebut sarat diselubungi serpihan seperti lumpur dan daun kering.

PUB sudahpun bekerjasama dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk membersihkan longkang yang "tersumbat" itu.

PUB menyatakan bahawa semasa kejadian banjir itu, lalu lintas di lorong-lorong lain BKE "masih boleh dilalui kenderaan".

Kedua-dua PUB dan LTA juga mengerahkan pasukan masing-masing ke lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan.

Beberapa pengguna jalan raya mengongsikan rakaman video menunjukkan kejadian itu di TikTok.

Dalam sebuah video selama 17 saat yang dikongsikan oleh pengguna TikTok bxw_vezel21 pada Isnin, seorang pengguna jalan raya yang merempuh banjir itu merakamkan apa yang kelihatan seperti sebahagian BKE ditenggelami air.

Rakaman itu mendapat hampir 169,000 tontonan dan kira-kira 1,600 perkongsian setakat Selasa malam (8 Nov).
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan