Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Longkang 'tak mampu tampung hujan lebat' semasa banjir kilat 30 Apr, kata Masagos

Banjir kilat dilaporkan di beberapa bahagian Singapura pada 30 April dengan taburan "hujan lebat" tidak dapat ditampung longkang di tepi jalan raya, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli. 

Anggaran Waktu Membaca:
Longkang 'tak mampu tampung hujan lebat' semasa banjir kilat 30 Apr, kata Masagos

Banjir kilat kelihatan di Joo Seng pada 20 Apr. (Petikan gambar: All Singapore Stuff/Facebook)

Diterbitkan : 26 May 2020 10:42PM Dikemas Kini : 26 May 2020 10:44PM

SINGAPURA: Banjir kilat dilaporkan di beberapa bahagian Singapura pada 30 April dengan taburan "hujan lebat" tidak dapat ditampung longkang di tepi jalan raya, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Hujan lebat berserta guruh dicatatkan di Paya Lebar, Punggol dan Hougang, kata beliau.

"Jumlah air hujan sebanyak 128.4 mililiter pada hari itu adalah antara yang tertinggi pernah dicatatkan di Singapura sepanjang 30 tahun lalu," tambah Encik Masagos pada Selasa (26 Mei).

Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Potong Pasir Sitoh Yih Pin yang ingin tahu sebab berlakunya banjir kilat baru-baru ini di beberapa kawasan Singapura.

Sennett Estate, yang terletak di kawasan undinya, adalah salah satu kawasan terjejas "walaupun sistem saliran diperluaskan baru-baru ini", kata Encik Sitoh. Beliau juga ingin tahu rancangan PUB untuk menangani kejadian banjir kilat.

Dalam jawapan bertulisnya, Encik Masagos berkata: "Memandangkan kapasiti saliran di tepi jalan tidak mampu menampung taburan hujan lebat luar biasa, banjir kilat berlaku di tempat-tempat seperti Upper Paya Lebar Service Road, Lorong Gambir, Tampines Road, Serangoon Avenue 2 dan Lichi Avenue (yang terletak dekat dengan Sennett Estate).

"Banjir kilat ini berlaku selama 10 hingga 30 minit."

Menarik perhatian bahawa Sennett Estate terletak "dalam sebuah kawasan tanah rendah dan mudah mengalami banjir", Encik Masagos berkata PUB secara bertahap-tahap menaik taraf sistem saliran di estet tersebut antara 2006 hingga 2015.

Kerja-kerja masih sedang dijalankan untuk menaik taraf baki bahagian saliran di estet berkenaan.

"Apabila siap pada 2021, perlindungan banjir bagi Sennett Estate akan terus dipertingkatkan," kata Encik Masagos.

BEG PASIR DAN PANEL BANJIR

Semasa banjir pada 30 April lalu, beg pasir disediakan oleh para pegawai PUB yang berada di tempat kejadian bersama penduduk terjejas.

Panel-panel banjir juga dipinjamkan kepada penduduk dan perniagaan oleh agensi air negara PUB. Panel tersebut boleh dipasang dengan cepat semasa banjir kilat dan sudahpun digunakan sejak permulaan musim monsun pada 2019, kata Menteri Masagos.

"Panel banjir ini digunakan oleh salah seorang penduduk semasa hujan ribut pada 30 April, yang menganggapnya berkesan untuk mencegah air daripada memasuki ke rumahnya," menurut Encik Masagos.

Sebagai sebahagian daripada usaha PUB untuk menangani kesan perubahan iklim, agensi tersebut meningkatkan piawaian reka bentuk saliran pada 2011 untuk memenuhi taburan hujan lebih tinggi, kata Encik Masagos.

Hampir S$2 bilion dalam bentuk kerja saliran sudahpun dilakukan dengan S$190 juta lagi bagi mempertingkat daya tahan banjir Singapura dijalankan tahun ini.

Antara kerja-kerja yang selesai dilakukan termasuk kerja penambahbaikan bernilai S$27 juta di Terusan Tampines yang terletak antara Hougang Avenue 1 hingga Hougang Avenue 7.

Disiapkan pada Mac 2019, ia berjaya mengurangkan kawasan banjir itu sebanyak 86 peratus termasuk sebahagian besar di Tampines Road, berdasarkan analisis hidraulik.

"Akibatnya, banjir kilat pada 30 April terbatas pada jalan raya yang termasuk di persimpangan antara Tampines Road dengan Hougang Avenue 1," kata Encik Masagos.

Kerja-kerja di kawasan tanah rendah Upper Paya Lebar Service Road sedang dijalankan untuk mengalihkan aliran hujan dari saliran sedia ada ke saliran baru lebih besar.

Dijangka siap pada 2021, ia akan dapat membaiki lagi perlindungan banjir di kawasan tersebut, kata Encik Masagos.

Sistem saliran di Serangoon Avenue 2 dan Lorong Gambir juga akan dinaik taraf dengan kerja-kerja dijangka bermula pada dua tahun berikutnya.

"Walaupun PUB akan terus berusaha memperbaiki sistem saliran, tidak praktikal untuk memperluaskan longkang kita untuk memenuhi setiap kejadian hujan luar biasa di Singapura yang kekurangan tanah," kata Encik Masagos.

PUB juga akan menerapkan "langkah kos berkesan" lain untuk mengurangkan risiko banjir dan mengurus dengan lebih baik kejadian banjir seperti "meningkatkan teknologi radar ramalan hujan yang akan membantu meningkatkan ramalan tempat di mana hujan lebat mungkin berlaku serta meningkatkan masa tindak balasnya kepada tempat yang berpotensi dilanda banjir kilat", tambah beliau.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan