Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lompat kerja untuk kejar gaji lebih tinggi tetapi ada padahnya

Anggaran Waktu Membaca:
Lompat kerja untuk kejar gaji lebih tinggi tetapi ada padahnya

Sebuah webinar, anjuran TODAY, melibatkan para peserta yang menghadiri acara tersebut secara fizikal buat julung-julung kalinya sejak ia mula dianjurkan. Ia diadakan di Sekolah Komunikasi dan Maklumat Wee Kim Wee (WKWSCI) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).(Gambar: Leonard Leong/TODAY)

Diterbitkan : 16 Nov 2022 10:42AM Dikemas Kini : 16 Nov 2022 10:43AM
SINGAPURA: Golongan belia mungkin berhasrat untuk menukar pekerjaan dalam jangka masa yang pendek demi meraih kenaikan gaji dengan lebih pantas.

Namun, para anggota panel di sebuah webinar anjuran TODAY pada Selasa (15 Nov) memberi amaran bahawa tindakan melompat kerja sedemikian ibarat pedang bermata dua.

Para majikan mungkin bimbang seandainya individu berkenaan mempunyai ciri seorang pekerja yang tidak setia sekiranya beliau kerap menukar kerja, kata mereka.

Anggota-anggota panel juga menarik perhatian kepada kecenderungan dalam kalangan ramai belia untuk bekerja secara online.

Aturan kerja sedemikian berkemungkinan mengundang kesan-kesan yang tidak dijangkakan terhadap budaya kerja serta hubungan sesama pekerja dan para majikan.

Komen-komen tersebut diluahkan semasa edisi ketiga siri webinar TODAY yang merangkumi empat sesi. Para panelis mengupas mengenai topik: 'What are young, restless workers chasing after? ' (Apakah yang dikejarkan oleh pekerja muda yang resah?).

Topik tersebut tercetus menyusuli dapatan tinjauan yang dijalankan TODAY baru-baru ini. Ia mendapati bahawa dua daripada lima responden belia berhasrat untuk menukar pekerjaan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Webinar tersebut melibatkan para peserta yang menghadiri acara tersebut secara fizikal buat julung-julung kalinya sejak ia mula dianjurkan. Ia diadakan di Sekolah Komunikasi dan Maklumat Wee Kim Wee (WKWSCI) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
ADAKAH TABIAT LOMPAT KERJA BAIK UNTUK PERTUMBUHAN KERJAYA?

Moderator Elizabeth Neo menanyakan barisan panel mengenai dapatan Tinjauan Belia TODAY, yang menunjukkan bahawa 39 peratus responden belia menjangkakan untuk kekal dengan kerja mereka yang sedia ada selama antara satu hingga tiga tahun. Beliau bertanya sama ada perkara itu menimbulkan sebarang kebimbangan.

Seorang anggota panel, Encik Adrian Choo, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Career Agility International, berkata bahawa pekerja yang sering menukar pekerjaan selepas bekerja untuk tempoh yang singkat, atau lompat kerja, akan berdepan dengan risiko bahawa majikan mereka akan menganggap beliau sebagai kurang rasa setia kepada syarikat tersebut.

"Tiga tahun adalah jangka masa yang selamat jika anda ingin menilai sama ada anda boleh bertahan dalam pekerjaan tersebut," ujar Encik Choo.

Seorang lagi anggota panel, Cik Tjin Lee, Pengasas Mercury Marketing and Events, berkata bahawa tempoh antara tiga hingga lima tahun adalah jangka masa yang munasabah untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baru dan meningkatkan diri secara profesional.

Ketika menjawab pertanyaan mengenai para belia diberitahu agar tidak kekal dalam satu pekerjaan untuk terlalu lama disebabkan peluang serta kenaikan gaji yang tidak berkembang, Encik Choo berkata ia adalah benar bahawa mereka yang menukar pekerjaan akan menerima "kenaikan gaji" yang ketara jika mereka lompat kerja.

BELIA LEBIH MEMILIH BEKERJA SECARA ONLINE TETAPI ATURAN TIDAK SESUAI UNTUK SEMUA JAWATAN

Anggota panel, Jeannie Poon, 24 tahun, pengasas bersama Teahee SG, bersetuju bahawa aturan kerja secara online adalah faktor penting dalam sesebuah pekerjaan, terutama dalam kalangan rakannya.

Beliau berkata sedemikian sebagai respons kepada dapatan Tinjauan Belia TODAY yang menunjukkan bahawa hampir separuh daripada responden tidak akan memlih pekerjaan yang tidak menawarkan pilihan untuk bekerja secara online.

Meskipun ia merupakan satu kecenderungan dalam kalangan belia, ia mungkin bukan pilihan yang berdaya maju bagi semua syarikat dan malah, aturan tersebut mungkin mempunyai kelemahannya.

Namun, seorang anggota panel yang juga merupakan wartawan TODAY, Daryl Choo, akur bahawa ia adalah munasabah bagi para belia untuk berterus terang mengenai apa yang diinginkan dalam sesebuah pekerjaan semasa ditemu duga, termasuk kecenderungan terhadap aturan bekerja secara online.

Menurut Encik Adrian Choo, istilah 'quiet quitting' merujuk kepada buat kerja setakat ala kadar atau membuat kerja yang minimum sahaja dan tidak sebaliknya melakukan tugas yang menjangkaui apa yang diperlukan.

Walaupun barisan panel sebulat suara bersetuju bahawa ia adalah penting untuk mengutamakan kesihatan mental, keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta masa untuk berehat, sesetengah daripada mereka berkata bahawa terdapat kesan-kesan buruk disebabkan tindakan sedemikian, misalnya, kekurangan peluang untuk menerima kenaikan gaji dan naik pangkat.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan