Lokasi mengecas kenderaan elektrik dinaikkan seganda kepada 1,000 jelang 2020
SP Group mengumumkan pada Khamis (25 Okt) bahawa ia akan membangunkan 1,000 tempat mengecas kenderaan elektrik menjelang tahun 2020, iaitu seganda lebih tinggi berbanding sasaran awal yang dibuatnya pada bulan Jun.
SINGAPURA: SP Group mengumumkan pada Khamis (25 Okt) bahawa ia akan membangunkan 1,000 tempat mengecas kenderaan elektrik menjelang tahun 2020, iaitu seganda lebih tinggi berbanding sasaran awal yang dibuatnya pada bulan Jun.
Selain itu, 25 peratus daripada 1,000 stesen mengecas itu berkuasa tinggi bagi menyokong model-model kenderaan elektrik baru dengan keupayaan bateri yang lebih tinggi serta jarak memandu yang lebih panjang.
Stesen-stesen mengecas itu akan disediakan dengan rating tenaga setinggi 50kW, menurut SP dalam kenyataan medianya.
Syarikat tersebut sebelum ini menyatakan bahawa ia akan membangunkan stesen mengecas 50kW DC yang berupaya mengecas sebuah kereta dalam tempoh hanya 30 minit.
Menurut SP, stesen-stesen mengecas itu akan ditempatkan di pusat-pusat beli-belah, kawasan-kawasan perumahan, taman-taman perniagaan dan tapak-tapak perusahaan, serta beberapa lokasi yang terletak berhampiran kedai kopi dan kedai makan.
SP menambah bahawa ia juga merancang untuk memperluaskan khidmat mengecas itu kepada pelbagai jenis kenderaan pada masa akan datang, termasuk kenderaan komersil besar seperti bas dan kenderaan berat yang lain.
Buat masa ini, para pengguna utama rangkaian mengecas kenderaan elektrik SP termasuk para pemandu Grab dan HDT Singapore Taxi.
Pada Khamis (25 Okt), syarikat itu juga mengumumkan satu kerjasama di mana ia akan menyokong HDT untuk memenuhi semua keperluan mengecas kenderaannya dalam tempoh 10 tahun.
HDT iaitu pengendali teksi elektrik terbesar di Singapura merancang untuk meningkatkan jumlah teksinya kepada 800 menjelang tahun 2022, dan ini mungkin termasuk model-model kenderaan elektrik baru.

Gambar Encik James Ng, Pengarah Urusan HDT Singapore Taxi, bersama Encik Goh Chee Kiong, Ketua Pembangunan Strategik SP Group. (Gambar: SP Group)
"Dengan membangunkan rangkaian mengecas kenderaan elektrik paling pantas dan terbesar di Singapura, ia akan membolehkan penggunaan kenderaan elektrik yang lebih tinggi, dengan membantu para pelanggan kami untuk memelihara alam sekitar sambil menjimatkan tenaga dan kos," kata Encik Wong Kim Yin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Group.
"Pengurangan pengeluaran gas karbon yang ketara juga akan menyokong Pelan Tindakan Iklim negara ini," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.