Lokar bagi penghantaran bungkusan akan dipasang kamera CCTV & sensor
Lokar bagi penghantaran bungkusan yang dijangka mula disediakan di estet-estet perumahan HDB seawal bulan ini, akan dipasang kamera litar tertutup dan sensor bagi mengurangkan risiko jenayah.
SINGAPURA: Lokar bagi penghantaran bungkusan yang dijangka mula disediakan di estet-estet perumahan HDB seawal bulan ini, akan dipasang kamera litar tertutup dan sensor bagi mengurangkan risiko jenayah.
Ini merupakan antara langkah keselamatan diperkenalkan di bawah undang-undang baru yang diluluskan untuk melicinkan penubuhan rangkaian lokar bagi penghantaran bungkusan.
Keseluruhannya, sekitar 1,000 stesen lokar akan disediakan oleh Pick Network menjelang akhir tahun ini.
Dalam sidang hari ini (5 Apr), para Anggota Parlimen secara umumnya akur khidmat seperti ini akan memudahkan para penduduk.
Namun, ada yang membangkitkan beberapa isu keselamatan seperti kiriman barang-barang terlarang.
Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha pula mengetengahkan tentang kesan yang mungkin dihadapi para penghantar kiriman bungkusan.
"Bagaimanakah boleh kita memastikan bahawa para penghantar terlindung apabila bungkusan itu mengalami kerosakan dari masa ia diletakkan dalam lokar ke masa pelanggan mengambil bungkusan mereka?
"Untuk penghantar yang menerima kurang dari S$5 dolar untuk setiap penghantaran yang berjaya, tuntutan palsu boleh menjejas pendapatannya," menurut Encik Sharael Taha.
Menjawab, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann berkata, pemasangan kamera CCTV akan memastikan proses penghantaran terakam.
Ini sekaligus dapat mengurangkan konflik yang boleh tercetus antara penghantar dan penerimanya jika barang yang dihantar didakwa rosak atau hilang.
Khidmat lokar juga, katanya, dapat memberi keyakinan lebih baik kepada para pelanggan kerana barang dipesan tidak akan dihantar ke alamat yang salah dan akhirnya menjadi terbiar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.