Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Loji air PUB di Sungai Johor ditutup sementara akibat 7 kejadian pencemaran sejak 2017

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli berkata sejak 2017, berlaku tujuh kejadian pencemaran di sepanjang Sungai Johor yang mengakibatkan loji air, Johor River Waterworks (JRWW), yang dikendalikan agensi air negara PUB ditutup seketika.

Anggaran Waktu Membaca:
Loji air PUB di Sungai Johor ditutup sementara akibat 7 kejadian pencemaran sejak 2017

Gambar fail paip air. (Gambar: AFP/Yoshikazu Tsuno)

Diterbitkan : 07 May 2019 12:02AM Dikemas Kini : 07 May 2019 12:04AM

SINGAPURA: Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli berkata sejak 2017, berlaku tujuh kejadian pencemaran di sepanjang Sungai Johor yang mengakibatkan loji air, Johor River Waterworks (JRWW), yang dikendalikan agensi air negara PUB ditutup seketika.

Encik Masagos berkata demikian pada Isnin (6 Mei) dalam respons bertulis kepada soalan parlimen oleh Anggota Parlimen Seah Kian Peng mengenai kesan berpanjangan daripada pemberhentian operasi loji rawatan air ke atas Singapura serta bekalan air yang sudah dirawat kepada Johor.

Menurut Encik Masagos: "Johor juga mempunyai loji-loji rawatan air di sepanjang Sungai Johor, ke hulu JRWW, dan akan menutup loji-loji tersebut apabila pencemaran berlaku bertentangan arus air.

Tujuh kejadian pencemaran dikesan berlaku akibat pembuangan haram dari tempat-tempat seperti kilang minyak sawit dan ladang ayam di sekitar kawasan tadahan tersebut. Setakat ini terdapat dua kejadian pencemaran pada 2019, kedua-duanya melibatkan tahap ammonia yang tinggi di Sungai Johor.

Menurut Encik Masagos, kejadian sedemikian lazimnya menyebabkan gangguan yang berlarutan dari beberapa jam hingga ke beberapa hari.

KEWAJIPAN AIR S'PURA KALA PENCEMARAN BERLAKU

Dalam responsnya, Encik Masagos juga mengatakan bahawa Singapura tidak diwajibkan untuk membekalkan Malaysia dengan air yang sudah dirawat apabila Singapura tidak dapat mengimport air dari Johor akibat pencemaran.

Di bawah Perjanjian Air 1962, Singapura berhak mengambil 250 juta gelen air sehari (mgd) dari Sungai Johor dan harus membekalkan 5 mgd air yang telah dirawat kepada Johor.

"Namun, kami membekalkan sebanyak 16 mgd air yang sudah dirawat kepada Johor, atas permintaan mereka. Kami berbuat demikian atas sikap muhibah tanpa prasangka terhadap hak kami di bawah Perjanjian Air 1962," kata Encik Masagos.

"Apabila kami tidak dapat mengimport sebarang air dari Johor kerana pencemaran, Singapura tidak diwajipkan untuk membekalkan air yang dirawat ke Malaysia," tambah beliau.

Encik Masagos juga menekankan kerjasama erat antara PUB dengan pihak berkuasa Johor membantu dalam menangani kejadian pencemaran.

Selain itu, Encik Masagos juga menyentuh tentang bagaimana PUB menjalankan ujian mutu air yang ketat demi memastikan bahawa air mentah dari Sungai Johor sesuai untuk menjalani proses rawatan sebelum menyambung semula operasi.

Semasa tempoh gangguan sementara sedemikian, PUB meningkatkan pengeluaran di loji penyulingan dan loji-loji air tempatan untuk memenuhi permintaan Singapura. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan