Liya Amira, peserta termuda 'SeniKita 2024', sampaikan mesej positif melalui lukisan refleksi cahaya matahari
SINGAPURA: Peraduan 'SeniKita' kembali buat kali keenam tahun ini dengan menampilkan penyertaan daripada 33 artis Melayu/Islam.
Tahun ini, 38 karya seni visual dipilih melalui undangan terbuka, dengan semua hasil karya dipamerkan di Wisma Geylang Serai (WGS) sehingga 1 Disember 2024.
'SeniKita' adalah hasil kerjasama antara WGS dan galeri Kamal Arts Ltd.
Ia menyediakan platform bagi penggiat seni lukis tempatan untuk menonjolkan bakat mereka, sambil menggalakkan penghargaan seni dalam kalangan masyarakat Melayu.
Pengasas Kamal Arts, Encik Kamal Dollah, berkongsi, "Wadah ini menggalakkan pelukis untuk terus berkarya dan ianya juga suatu tinjauan perkembangan pelukis-pelukis dalam masyarakat kita.
"Tahun demi tahun kami dapat melihat perkembangan dan kemajuan peserta melalui karya mereka. Setiap tahun kami dapati beberapa pelukis baharu yang ikut serta."
Menurut Encik Kamal, peraduan 'SeniKita' telah memberikan impak besar dalam memperkaya seni tempatan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
"Pengiktirafan karya terbaik dan pelukis harapan merangsangkan semangat berkarya serta memberi impak positif terhadap kerjaya mereka," tambahnya.
PESERTA 11 TAHUN PEMENANG ANUGERAH ARTIS HARAPAN
Peserta termuda, Liya Amira, mencipta sejarah dengan memenangi Anugerah Bakat Muda Harapan tahun ini melalui karya arang bertajuk "Reflection of the Darker and the Brighter Side."
Liya, peserta paling muda dalam sejarah 'SeniKita', menjelaskan bahawa lukisannya menggambarkan refleksi cahaya matahari yang menembusi desa yang suram, memberi mesej untuk berfikir positif meskipun di waktu kesusahan.
"Harapan saya adalah agar sesiapa yang melihat lukisan ini mendapat ilham dan tidak mudah berputus asa," jelas Liya kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Beliau mengakui sangat teruja dipilih sebagai pemenang.
"Saya yang termuda berbanding yang lain dan saya sangat teruja memenangi Anugerah Artis Harapan. Saya tidak menjangka saya akan menang anugerah ini kerana ada ramai lagi artis yang lebih berbakat dan berpengalaman. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya.
"Saya tidak akan berhenti di sini dan akan terus memperjuangkan minat saya untuk menjadi artis yang lebih baik," ujar beliau.
ANUGERAH TERBAIK KESELURUHAN
Anugerah Terbaik Keseluruhan tahun ini dimenangi oleh Encik Saiman Ismail, 72 tahun, dengan karya akrilik berjudul "Bismillah."
"Karya-karya yang saya hasilkan mengambil inspirasi daripada pengalaman dan amalan harian, sama ada melalui membaca, melihat, mendengar, atau berinteraksi dengan kehidupan sosial dan budaya di sekeliling saya.
"Segalanya bermula dengan 'Bismillah', lalu apa yang tersirat dalam hati tersemat dan tersurat dalam setiap karya yang dihasilkan," kongsi Encik Saiman.
Karya tersebut bertujuan memberi dorongan kepada generasi muda untuk mengenal dan menghayati tulisan Jawi dalam konteks kontemporari.
Encik Saiman juga berharap karyanya dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih menghargai seni dan budaya.
"Saya bersyukur menerima anugerah Anugerah Terbaik Keseluruhan dari Galeri Kamal Art. Saya berbesar hati kerana karya saya dihargai oleh masyarakat dalam usaha memartabatkan seni dan budaya, terutama untuk memberi inspirasi (kepada) anak-anak muda sebagai generasi pelapis seni pada masa depan.
"Pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkarya dengan lebih baik," kata Encik Saiman.
PEMANGKIN UNTUK TERUS BERKARYA
Muhd Mitaq, 37 tahun, pula meraih Naib Juara Anugerah Terbaik Keseluruhan dengan karya "Ketersambungan," yang mengambil inspirasi daripada seni lukis 'neografik'.
"Teknik itu memberi kebebasan pada kreativiti dan tiada penyekatan untuk minda pelukis dari segi bentuk, garisan dan pengisian. Tema yang saya berikan pada karya ini adalah ' ketersambungan' manakala warnanya, saya mendapat inspirasi daripada warna dalam tubuh kita.
"Jika kita perhatikan dengan teliti, setiap warna saling tersambung, dan sekali imbas, kita dapat melihat bentuk paru-paru, hati, dan usus. Ia sama seperti struktur tubuh kita yang saling berkait antara satu sama lain," jelas Encik Mitaq.
Pelukis yang menceburi dunia seni lukis sejak 2016 itu aktif menyertai pelbagai peraduan, baik di dalam mahupun luar negara.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin semangat untuknya terus berkarya dan memperbaiki seni lukisannya.
Dalam pada itu, pihak penganjur berharap masyarakat Melayu/Islam di Singapura lebih menghargai karya-karya seni tempatan dan pada masa yang sama memupuk kesedaran tentang penghayatan seni lukis.
Pameran percuma itu berlangsung hingga 1 Disember depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.