Skip to main content

Singapura

'Little Hands, Big Hearts': Projek masyarakat keluarga ini beri inspirasi kepada orang ramai

Anggaran Waktu Membaca:
'Little Hands, Big Hearts': Projek masyarakat keluarga ini beri inspirasi kepada orang ramai
Cik Faith Ong menunjukkan poster yang direka bersama anak-anaknya, Kaizen See dan Kay See, sebagai sebahagian daripada inisiatif masyarakat mereka, 'Little Hands, Big Hearts'. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Diterbitkan : 16 Feb 2026 08:49PM Dikemas Kini : 16 Feb 2026 11:21PM
SINGAPURA: Apabila Kaizen See yang berusia tujuh tahun dan kakaknya, Kay See, yang berusia sembilan tahun mengetahui tentang kebakaran maut di Wang Fuk Court di Hong Kong, mereka bercadang untuk membantu dengan apa jua cara yang mereka mampu.

Namun, apabila mereka menyedari bahawa ramai orang lain sudah mengumpul dana untuk membantu mangsa, adik-beradik itu memutuskan untuk menyalurkan usaha mereka ke arah meningkatkan kesedaran tentang pentingnya keselamatan kebakaran di Singapura.

Kanak-kanak itu menghasilkan poster untuk mendidik penduduk tentang perkara yang perlu dan tidak harus dilakukan semasa menggunakan soket elektrik, seperti menjaga kekemasan wayar dan mengelakkan beban berlebihan pada plag.

Poster itu akan dipamerkan pada skrin digital di lobi lif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di seluruh estet majlis bandaran Nee Soon.

Mereka juga menganjurkan lawatan ke Balai Bomba Yishun bersama tujuh keluarga lain, di mana mereka menyampaikan bungkusan khas dan hadiah buatan tangan kepada pegawai yang bertugas.

Kanak-kanak itu memberitahu Mediacorp pada Ahad (15 Feb) bahawa tindakan tersebut merupakan "misi" pertama mereka dalam inisiatif masyarakat mereka, iaitu Little Hands, Big Hearts, yang dimulakan oleh keluarga mereka selepas meraih dana sekitar S$5,000 daripada Dana Singapura Kita.

Sejak diperkenalkan pada 2016, Dana Singapura Kita sudah menyokong lebih 800 projek akar umbi.
Related article image
Salah satu poster yang direka oleh Kaizen dan Kay untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan kebakaran. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Keluarga tersebut turut diberi sorotan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Kenyataan Belanjawan 2026 beliau pada Khamis lalu sebagai contoh bahawa "sesiapa sahaja, tidak kira betapa muda, boleh tampil ke hadapan untuk membuat perbezaan".

Beliau juga mengumumkan bahawa dana Dana Kerjasama SG bernilai S$50 juta yang baharu akan dilancarkan bagi menyokong inisiatif akar umbi dan membantu mereka membina keupayaan dan impak yang berterusan.

BAGAIMANA IA BERMULA

Walaupun projek keselamatan kebakaran merupakan kali pertama Cik Ong dan anak-anaknya yang diusahakan bersama di bawah Dana Singapura Kita, keluarga itu pernah terlibat dalam usaha-usaha akar umbi yang lain sebelum ini.

Selepas membaca tentang gempa bumi Myanmar pada Mac 2025, anak-anaknya memutuskan untuk menjual kit membuat kad pada harga S$10 sekotak untuk mengumpul dana bagi usaha pengumpulan dana Myanmar dan Thailand oleh Palang Merah Singapura.

Apa yang bermula sebagai inisiatif masyarakat kecil tidak lama kemudian berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar.

Kay menyatukan sekolahnya untuk menyokong usaha itu, membentangkan ideanya kepada rakan-rakan sekolahnya, dan membuka gerai di kampus untuk meraih sokongan dan meningkatkan jualan.

Projek itu berjaya mengumpul hampir S$860.

"Ia sangat mengharukan untuk melihat pelajar-pelajar mengeluarkan duit mereka. Mereka ingin menderma semua syiling-syiling yang mereka ada," kata Cik Ong, seorang jurulatih yoga sambilan.

"Itulah kali pertama saya sedar bahawa kanak-kanak ingin membantu, mereka hanya perlu ditunjukkan caranya."
Related article image
Pelibatan bersama dalam projek-projek masyarakat mengeratkan lagi hubungan antara adik-beradik tersebut. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Pada September lalu, kedua-dua kanak-kanak itu mengadakan sambutan hari jadi bersama dan menggalakkan tetamu mereka untuk tidak memberi hadiah.

Sebaliknya, mereka mengajak tetamu untuk menderma kepada agensi bantuan bencana Singapura, Mercy Relief, untuk menyokong kanak-kanak di Gaza.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir, keluarga itu turut membuat kek cawan yang dibungkuskan dengan sebuah kod QR yang menggalakkan penerima untuk menderma.

Inisiatif tersebut berjaya mengumpul S$7,500.

"Saya memberitahu mereka bahawa sejak kita memutuskan untuk melakukan ini, kita perlu memastikan kita memberikan usaha terbaik kita," kata Cik Ong.

Sebagai seorang yang percaya bahawa markah yang diraih di sekolah bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan, Cik Ong menanamkan peri penting sifat empati dan tanggungjawab sosial dalam diri anak-anaknya.

"Jadi kita akan membincangkan tentang apa yang disampaikan dalam berita, bagaimana kita boleh membantu dan bagaimana kita boleh menyumbang," katanya.

"Ini membuat mereka memiliki rasa syukur dan sifat ihsan dalam diri mereka.

"Saya tidak rasa akademik adalah segala-galanya. Saya rasa memiliki perwatakan yang baik adalah penting. Jika anda seorang yang baik hati dan penyayang, anda tidak akan tersalah langkah."

CABARAN

Walaupun Cik Ong membantu dalam merangka rancangan untuk bulan-bulan akan datang, melancarkan inisiatif akar umbi turut mempunyai cabaran tersendiri yang perlu beliau pelajari dan tangani.

Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh beliau dan anak-anaknya pada masa ini ialah "merekrut" orang lain untuk menyertai mereka dalam usaha mereka.

"Anak-anak saya memberitahu saya bahawa mereka bimbang orang tidak mahu menyertai mereka.

"Saya tidak fikir merekrut orang akan menjadi sukar. Saya selalu fikir semua orang mahu berbuat baik, mereka hanya tidak tahu bagaimana untuk melakukannya."
Related article image
Kay See dan Kaizen See bersama ibu bapa mereka, Cik Faith Ong dan Encik Willy See, serta adik perempuan mereka yang berusia 19 bulan, Kristine See. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Apabila ia berkait dengan menggalakkan lebih ramai orang dewasa untuk tampil ke hadapan, Cik Ong berkata ia lebih kepada mengutamakan masa bagi perkara yang benar-benar penting.

Ibu kepada tiga orang anak, yang anak bongsunya berusia 19 bulan, berkata beliau berterima kasih kepada suaminya kerana menjaga anak kecil mereka apabila beliau merancang dan menjalankan inisiatif masyarakat.

"Orang yang telah melakukan kerja yang sangat penting tetapi sentiasa 'tidak didendang' ialah suami saya. Projek ini hampir mustahil tanpa dia," tambahnya.

Namun, Cik Ong tetap yakin bahawa, dengan masa dan lebih banyak projek yang dirancang, mereka akan dapat menarik lebih ramai sokongan untuk membantu.

PEMBELAJARAN DI LUAR BILIK DARJAH

Awal bulan ini, beberapa rakan Kay dari sekolahnya membantu adik-beradik itu menyediakan beg hadiah untuk pekerja hijrahan.

Walaupun Cik Ong berkata mereka datang atas nama 'playdate', beliau melihatnya sebagai peluang untuk mengajar mereka peri penting menjaga dan menyokong pekerja hijrahan.

Bagi Kay, dia melihatnya sebagai peluang bukan sahaja untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan dengan rakan-rakannya di luar bilik darjah.

Pelibatan dalam projek-projek sedemikian meningkatkan keyakinannya dan mengukuhkan kemahirannya bercakap di hadapan khalayak ramai.

Walaupun dia masih berasa gementar dari semasa ke semasa, dia secara beransur-ansur menjadi lebih berani dan yakin.

"Saya bertanya kepada mereka apa yang telah mereka pelajari tentang diri mereka - Kay berkata bahawa dia belajar bahawa dia jauh lebih kuat daripada yang dia sangkakan," kata Cik Ong.

"Kaizen berkata dia tidak tahu dia boleh melakukan begitu banyak perkara."
Related article image
Kay See menggunakan Canva untuk menghasilkan poster bagi projek yang akan datang. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Bulan depan, 'Little Hands, Big Hearts' akan melawat rumah warga emas SASCO di Hong San untuk mengajar penghuni cara membuat 'cake pop', dan sedang mencari 15 keluarga untuk menyertai mereka.

Pada bulan April, keluarga tersebut akan pergi ke pantai untuk membersihnya, dengan harapan dapat mengumpulkan 20 hingga 30 kanak-kanak untuk mengambil bahagian.

Anak-anak Cik Ong masih bersemangat tentang projek-projek masa depan, termasuk satu idea untuk menubuhkan 'perpustakaan mainan' di kelab masyarakat di mana kanak-kanak boleh meminjam dan bertukar-tukar pelbagai jenis mainan.

Beliau berkata bahawa walaupun keluarganya boleh mengemukakan idea, bimbingan dan sokongan daripada Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura sering membantu mengarahkan mereka ke arah yang betul dalam mendapatkan ruang atau dihubungkan dengan pertubuhan untuk bekerjasama.

Sedang inisiatif itu semakin mendapat perhatian, Cik Ong berharap ia akan memberi inspirasi kepada lebih banyak keluarga untuk tampil ke hadapan bagi membantu masyarakat.

"Aktiviti-aktiviti seperti ini membentuk kita menjadi siapa kita hari ini, dan kami rasa adalah wajar untuk menyemai nilai-nilai yang sama ke dalam diri anak-anak kami dan membantu masyarakat."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita