Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lima syarikat Melayu/Islam gabung tenaga belanjakan S$11,000 bantu persiapan sekolah anak-anak

Persiapan kembali ke sekolah bagi tahun baru lebih bersemangat lagi bagi 43 pelajar yang mendapat pek habuan di acara 'Leaders of Tomorrow Back To School 2022' pada Sabtu (10 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
03:12 Min
Persiapan kembali ke sekolah bagi tahun baru lebih bersemangat lagi bagi 43 pelajar yang mendapat pek habuan di acara 'Leaders of Tomorrow Back To School 2022' pada Sabtu (10 Dis).

SINGAPURA: Persiapan kembali ke sekolah bagi tahun baru lebih bersemangat lagi bagi 43 pelajar yang mendapat pek habuan di acara 'Leaders of Tomorrow Back To School 2022' pada Sabtu (10 Dis).

Setiap pek habuan bernilai antara S$200 hingga S$250 yang berisi barangan seperti beg, kasut, alat tulis dan buku-buku sekolah.

Dianjurkan oleh syarikat perundingan bagi pengurusan hutang Melayu/Islam, VIV Associates, ia bertujuan membantu para klien syarikat itu, khususnya golongan ibu bapa dengan anak-anak yang masih bersekolah untuk meringankan kos persiapan persekolahan mereka.

Lebih istimewa lagi, kanak-kanak itu juga berpeluang memilih sendiri barang-barang yang mereka inginkan dan pihak VIV Associates cuba menunaikan sehingga 90 peratus kehendak mereka.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kita pun tahu tak semua masyarakat yang di luar itu dapat bantuan yang dikehendaki sebab skala gaji mereka. Kadang-kadang mereka tersepit di antara gaji-gaji mereka. Jadi ada sebilangan orang itu yang memerlukan bantuan ini. Mudah-mudahan dengan lebih ramai penaja, kita dapat bantu orang-orang seperti ini," kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, VIV Associates, Encik Shafri Suali.

Menurut Encik Shafri, inilah usaha amal terbesar yang dijalankan syarikatnya setakat ini.

Sebelum ini syarikatnya yang berusia setahun setengah itu melakukan kerja-kerja amal dalam skala yang lebih kecil.

Bagi projek 'Leaders of Tomorrow Back To School 2022', hampir S$11,000 dibelanjakan hasil sokongan dana daripada syarikat-syarikat Melayu/Islam lain termasuk Pop Motif Interior Design, MA Concept & Design, Bone Setting SG dan Bismi Info Tech & Trading Pte Ltd.

TERUJA IMPIAN ANAK TERCAPAI

Antara klien yang amat bersyukur dengan pemberian itu ialah Cik Siti Noor Aishah Bahrom, 35 tahun.

Beliau yang bertugas sebagai pegawai pentadbiran mula mendapatkan bantuan dari VIV Associates tahun ini atas masalah pengurusan kewangan.

Dengan inisiatif sebegitu, beliau berasa lega kerana keinginan kedua-dua puteranya, dapat dikotakan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kadang-kadang apa yang mereka inginkan, saya tidak dapat berikan kerana kewangan saya ketat pada masa itu. Saya rasa ini amat berguna untuk mereka. Mereka boleh gunakan untuk sekolah pada tahun depan," kata Cik Aishah.

Apabila ditanya apakah barangan kegemaran yang diterima anak-anak Cik Aishah, ini jawapan mereka:

"Saya suka kasut dan dekat rumah saya tak ada kasut. Kasut saya semua sudah hancur," kata Mohammad Danial Alfian Mohammad Sufian, 12 tahun.

"Saya suka beg sekolah sebab kalau saya nak beli beg sekolah dekat luar, beg sekolah itu mahal," kata Mohammad Danish Adrian Mohammad Sufian, 10 tahun.



LEBIH BANYAK LAGI USAHA MURNI BOLEH DIJANGKAKAN DI GEYLANG SERAI

Edisi pertama inisiatif tersebut yang diadakan di Wisma Geylang Serai turut disokong Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Geylang Serai yang menaja lokasi dan pek habuan makanan kering buat semua keluarga penerima.

Menurut Pengerusinya, Encik Mohamed Zailani Mohamed Said, beliau berharap untuk terus menyokong usaha murni seperti itu untuk membantu lebih ramai golongan masyarakat Melayu/Islam yang memerlukan.

"Ini permulaannya. Jadi kita akan insya-Allah di masa akan datang kita akan berkolaborasi dan bekerjasama bukan sahaja dengan inisiatif 'Leaders of Tomorrow' ini, mungkin dengan acara-acara akan datang di mana kita M³ dan juga MAEC membantu penduduk-penduduk Islam kita di kawasan kita ini," kata Encik Zailani.

VIV Associates juga merancang untuk meneruskan usaha murni ini bagi tahun-tahun mendatang.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan