Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lima rangkaian pasar raya terima baucar CDC terbaru

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Jan 2023 01:47PM Dikemas Kini : 03 Jan 2023 08:58PM
SINGAPURA: Agihan terbaru baucar Majlis Pembangunan Masyarakat CDC dilancarkan pada Selasa (3 Jan).

Sebahagian daripada baucar tersebut boleh digunakan untuk berbelanja di lima pasar raya yang menyertainya iaitu HAO Mart, NTUC FairPrice, Prime, Sheng Siong dan U Stars.

Separuh daripada baucar CDC bernilai S$300 yang diberikan setiap keluarga warga Singapura kali ini, boleh digunakan di cawangan pasar raya.

Sementara itu, baki S$150 lagi boleh dibelanjakan di hampir 20,300 gerai penjaja dan kedai di kawasan-kawasan kejiranan.

Lima pasar raya itu disertakan kali ini untuk memudahkan lagi dan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk berbelanja.

Demikian menurut CDC dan Kesatuan Rakyat (PA) dalam satu kenyataan media bersama.

Para penduduk boleh mendapatkan senarai gerai penjaja dan kedai serta pasar raya yang menyertainya di laman CDC. Baucar CDC kali ini boleh digunakan sehingga 31 Disember 2023.

BAUCAR DIGITAL

CDC dan PA menyatakan khidmat bantuan akan disediakan bagi warga yang kurang celik digital sedang Skim Baucar CDC 2023 akan kekal dalam format digitalnya.

Keutamaan akan diberikan kepada warga tua dan golongan kurang upaya di balai rakyat dan kelab-kelab masyarakat, tambah agensi.

"Duta Digital Pejabat Digital SG akan ditugskan di Hab Masyarakat Digital SG untuk menyediakan bantuan bagi penduduk yang memerlukan bantuan untuk menuntut baucar digital mereka.Penduduk tanpa telefon pintar atau yang perlu membuat akaun Singpass atau menetapkan semula kata laluan Singpass mereka juga akan dibantu di balai rakyat," menurut CDC dan PA.

Tambahan lagi, sekumpulan duta Silver Infocomm Wellness, para sukarelawan dari rangkaian belia dan sukarelawan pelajar akan ditempatkan di balai rakyat terpilih sepanjang dua minggu pertama pelancarannya.

SUMBANGAN BAUCAR

Setakat 31 Disember 2022, 1.2 juta (98.7 peratus) warga Singapura sudah mengambil baucar CDC 2021 mereka, dan 1.1 juta (96.2 peratus) sudah mengambil baucar 2022 mereka.

Secara keseluruhannya, lebih S$228 juta (96 peratus) daripada jumlah keseluruhan baucar CDC diambil sudahpun dibelanjakan di pusat dan kedai penjaja yang menyertainya.

Orang ramai boleh menyumbang baki baucar CDC dari 2021 dan 2022 kepada badan amal. Ini boleh dilakukan menerusi laman skim baucar CDC sehingga 31 Januari.

MENGIMBANGI KESAN INFLASI

"Baucar tersebut adalah sebahagian daripada langkah pakej menyeluruh dari Pemerintah untuk membantu warga Singapura mengimbangi kesan kenaikan harga dan kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) baru-baru ini."

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong di pelancarannya pada Selasa (2 Jan).

Selain agihan baucar tersebut, Encik Wong menambah bahawa Pemerintah sedang menyediakan bantuan menerusi cara lain juga.

"Kami menawarkan kepada warga Singapura dewasa sehingga S$700 tunai bulan lalu," kata beliau.

"Hujung bulan ini, kami akan mengagihkan rebat U-Save bagi pusingan seterusnya untuk membantu isi rumah mengimbangi bil api air mereka. Malah, bagi keseluruhan tahun 2022, kami sudah memberikan isi rumah HDB dua kali ganda rebat U-Save biasa mereka."

Ini boleh menampung jumlah rebat bil utiliti selama enam bulan bagi isi rumah yang tinggal dalam flat Lembaga Perumahan (HDB) tiga bilik. Bagi mereka yang tinggal di flat empat bilik, ia bernilai sekitar empat bulan rebat.

"Kami sedia maklum mengenai kebimbangan dalam kalangan kebanyakan penduduk berhubung isu kos kehidupan," jelas Encik Wong.

Dalam pada itu, Encik Wong menarik perhatian bahawa Pemerintah sedang mempertimbangkan langkah tambahan dalam Belanjawan untuk menyokong warga Singapura sepanjang tahun ini, terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah dan lebih terdedah.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan