Skip to main content

Singapura

Lima pusat penjaja baharu bakal dibina; geran S$10 juta diperuntuk bagi pertingkat tandas kedai kopi

Anggaran Waktu Membaca:
Lima pusat penjaja baharu bakal dibina; geran S$10 juta diperuntuk bagi pertingkat tandas kedai kopi

Pusat Penjaja Bukit Batok West dijangka dibuka tahun ini. (Gambar: MSE)

Diterbitkan : 04 Mar 2025 09:21PM Dikemas Kini : 05 Mar 2025 05:38AM
SINGAPURA: Lima pusat penjaja baharu akan dibina di estet-estet perumahan sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat akses kepada makanan dan menjadikannya lebih boleh dimampui.

Demikian menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (4 Mac).

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan semasa ucapan Belanjawan bulan lalu bahawa sehingga S$1 bilion akan diperuntukkan dalam 20 hingga 30 tahun akan datang untuk menaik taraf pusat-pusat penjaga sedia ada dan membina yang baharu untuk memenuhi keperluan yang berubah-ubah.

MSE bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi lima pusat penjaja baharu itu namun menyatakan pihaknya menyasarkan untuk memberi khidmat lebih baik kepada penduduk di estet-estet baharu dan juga sedia ada.

Ini merupakan tambahan kepada 20 pusat penjaja yang sebelum ini diumumkan pada 2011 dan 2015. Sejak 2011, 14 pusat penjaja sudah dibuka di estet perumahan baharu seperti One Punggol, Bukit Canberra, Jurong West dan Woodleigh Village.

Lagi dua - di Bukit Batok West dan Punggol Coast - akan dibuka tahun ini. Yang pertama, terletak di 469 Bukit Batok West Avenue 9, akan menawarkan 22 gerai makanan dan lebih 400 kerusi, manakala yang terletak di 84 Punggol Way akan menawarkan 40 gerai makanan dan lebih 680 kerusi.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 Singapura, sokongan sewa sekali sehaja sebanyak S$600 bagi setiap gerai akan diberikan kepada pemilik gerai makanan dan pasar di pusat-pusat penjaja dan pasar kendalian pemerintah atau pengendali dilantik pemerintah.

Ini akan diagihkan bertahap-tahap mulai April kepada pemilik gerai berdaftar dengan tempoh sewa yang masih aktif setakat 18 Februari 2025.
Ruang makan yang luas di Pusat Penjaja Punggol Coast akan dibuka tahun ini. (Gambar: MSE)
S$10 JUTA UNTUK PERTINGKAT TANDAS KEDAI KOPI

Pemerintah juga akan memperuntukkan dua geran S$5 juta setiap satu untuk kedai-kedai kopi mempertingkat tandas mereka.

Geran-geran ini akan mengikut saranan-saranan daripada Pasukan Bertindak Tandas Awam, yang ditubuhkan tahun lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif Tahun Kebersihan Awam Singapura.

Geran Ubah Elok Tandas Kedai Kopi itu akan membantu para pengendali mengubah elok dan mempertingkat rekaan, ciri-ciri dan memudahkan penyenggaraan tandas masing-masing. Ia juga menggalak mereka memenuhi pensijilan Program Happy Toilet, iaitu tanda aras yang dibangunkan oleh Persatuan Tandas (Singapura) bagi tandas kedai kopi yang bersih dan mempunyai rekaan menarik.

Para pengendali boleh memohon untuk mendapatkan dana itu daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk meliputi sehingga 95 peratus kos ubah elok tandas, dihadkan pada S$50,000 bagi setiap kedai kopi.

Geran Pembersihan Menyeluruh Tandas Kedai Kopi akan menyokong para pengendali melakukan pembersihan menyeluruh dan teliti setiap kali tandas dibersihkan. Kerja-kerja pembersihan menyeluruh boleh menghapuskan bau dan kotoran degil, yang mungkin sukar dihilangkan dengan hanya pembersihan biasa.

Di bawah skim ini, NEA akan memperuntukkan dana sehingga 95 peratus bagi kontrak pembersihan menyeluruh selama dua tahun, dihadkan pada S$25,000 bagi setiap kedai kopi. Pemohon yang berjaya juga akan menerima latihan percuma pembersihan tandas di lokasi kedai kopi bagi pekerja pembersihan mereka.

Lebih banyak butiran mengenai dua geran itu akan didedahkan kelak.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita