Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lima pembahas mewakili SG dalam Bahas Muhibbah 2023 di Brunei Darussalam

Anggaran Waktu Membaca:
Lima pembahas mewakili SG dalam Bahas Muhibbah 2023 di Brunei Darussalam

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

SINGAPURA: Pasukan pembahas Singapura sudahpun berangkat ke Brunei Darussalam pada Khamis (7 Dis) untuk Bahas Muhibbah 2023.

Mereka dipimpin oleh Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain.

Bahas Muhibbah 2023 adalah bahas persahabatan dan program pertukaran budaya antara Brunei Darussalam dan Singapura yang akan diadakan pada Sabtu (9 Dis) di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Ia merupakan kerjasama antara 4PM dan The Curious Playgrounds dari Brunei Darussalam yang akan berlangsung dari 7 Disember hingga 10 Disember.

Kali terakhir acara itu diadakan adalah pada 2020 di Wisma Geylang Serai.

Perbahasan itu bakal menampilkan dua pasukan yang terdiri daripada pembahas Brunei dan Singapura dan akan membahaskan topik "Pendidikan inklusif ialah impian yang boleh dicapai".

Selain dapat menampilkan kemahiran mereka berbahas dalam Bahasa Melayu, ia juga peluang bagi semua peserta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan budaya antara satu sama lain.

LIMA PESERTA SG AMBIL BAHAGIAN DALAM BAHAS MUHIBBAH 2023

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Singapura diwakili lima peserta termasuk Khadiijah Mazalan, 19 tahun dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

Khadiijah merupakan anggota pasukan kategori pos-Menengah yang menjuarai Bahas 4PM tahun ini.

Beliau juga muncul sebegai pembahas terbaik secara keseluruhannya untuk pertandingan yang sama.

"Saya rasa amat bangga kerana dapat mewakili Singapura bersama sahabat-sahabat saya yang lain dalam program Bahas Muhibbah ini. Saya juga rasa gembira kerana dapat mengharumkan lagi nama Singapura melalui program-program di luar negara seperti Bahas Muhibbah," kongsi Khadiijah kepada BERITA Mediacorp.

"Saya akan menggunakan pengalaman saya sebagai juara Bahas 4PM 2023 untuk menolong pasukan saya dalam program Bahas Muhibbah ini kerana kami juga mempunyai peserta daripada Brunei Darussalam dalam pasukan saya, jadi saya (ingin) menggunakan pengalaman saya untuk mengajar mereka kerana sebahagian daripada mereka tidak tahu akan adat dan adab perbahasan dalam Bahasa Melayu," tambahnya.

Para peserta sudahpun melakukan persiapan awal secara online dengan anggota pasukan mereka dari Brunei.

"Saya harap saya dan sahabat-sahabat saya dapat menjalinkan hubungan yang baik dan erat bersama rakan-rakan kami di Brunei Darussalam yang akan turut mengambil bahagian dalam program Bahas Muhibbah ini kerana saya rasa jalinan itu adalah salah satu faktor yang terpenting bagi mengharumkan kedua-dua nama negara," ujar Khadiijah.

TERUJA UNTUK MEWAKILI SINGAPURA

Tengah: Nur Ifqah Hazly

Seorang lagi pembahas yang mengambil bahagian ialah Nur Ifqah Hazly dari Politeknik Ngee Ann.

Ifqah merupakan pasukan naib juara dalam Bahas 4PM kategori pos-menengah tahun ini.

"Saya berasa teruja diberi peluang untuk mewakili Singapura dan juga tidak sabar untuk bersaing dengan peserta Brunei kerana peluang ini tidak kerap diberikan kepada semua para finalis atau para pembahas di Singapura," kongsi Ifqah, 18 tahun, yang merupakan pembahas terbaik untuk pusingan terakhir bagi Bahas 4PM tahun ini.

"Saya harap untuk pelajari lebih banyak kemahiran daripada peserta Brunei dan juga mengaplikasikannya apabila saya berbahas pada masa hadapan dan juga membina silaturrahim bersama peserta-peserta dari Brunei," tambahnya.

INGIN PELAJARI BUDAYA BRUNEI DARUSSALAM, LESTARIKAN BAHASA MELAYU

Menurut Encik Nassar, Bahas Muhibbah kali ini amat bermakna dan istimewa kerana ia kali pertama 4PM dan rombongan delegasi dari Singapura ke Brunei Darussalam untuk acara Bahas Muhibbah bersama The Curious Playgrounds itu.

"Kita mahu mempelajari dengan lebih mendalam lagi tentang budaya mereka di sana. Walaupun kita tinggal serantau, satu bahasa, sebangsa, seagama, tetapi kita mahu mempelajari selok-belok bagaimana mereka menghadapi kehidupan mereka di sana juga. Melalui Bahas Muhibbah ini, kita mahu melestarikan lagi Bahasa Melayu di Singapura dan menerapkan rasa cinta dan kasih sayang untuk bahasa," kongsi Encik Nassar.

"Kita mahu mempelajari budaya mereka di sana dan bagaimana mereka melestarikan menggunakan Bahasa Melayu dalam kehidupan harian mereka. Dan bagaimana belia di Singapura boleh mempelajari, apa yang dikatakan budaya kita yang tinggal serumpun di nusantara ini," tambahnya.

Beliau juga berharap hubungan bersama Brunei Darussalam akan "semakin akrab dan rapat" untuk jangka masa panjang.

"Diharapkan juga selepas ini, kita ada lebih banyak lagi program, bukan sahaja dalam perbahasan ataupun dalam bahasa, bahkan juga dalam kerja-kerja kemasyarakatan, kerja-kerja pembangunan belia, dan untuk meningkatkan keyakinan diri," tambah beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan