Lima lelaki ditahan serang mangsa 24 tahun guna pisau di Buangkok Crescent
Gambar hiasan seorang lelaki memegang pisau. (Gambar fail: AFP)
SINGAPURA: Lima lelaki diberkas kerana disyaki merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya, selepas seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa diserang dengan pisau di Buangkok Crescent pada Rabu (22 Dis).
Polis menerima laporan mengenai lelaki itu diserang seorang lelaki lain yang juga berusia 24 tahun di Buangkok Crescent, pada sekitar 5.30 pagi pada Rabu.
Mangsa mengalami beberapa kesan luka di lengan dan mukanya dan dirawat di hospital, kata polis.
"Siasatan awal menunjukkan bahawa mangsa mengenali penyerang, yang didakwa menyerang mangsa dengan pisau semasa bergelut, selepas mereka bergaduh," tambah polis.
Polis mengenalpasti identiti enam orang yang terlibat dalam kejadian itu melalui siasatan di tempat kejadian dan juga rakaman gambar daripada kamera polis.
Lima daripada suspek yang berusia antara 21 dengan 27 tahun, diberkas pada Rabu. Sebilah pisau ditemui dan dirampas daripada penyerang.
Seorang wanita berusia 27 tahun sedang membantu siasatan, tambah mereka.
Seorang lelaki berusia 24 tahun akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (24 Dis) kerana merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan disebat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.