Lima eksekutif utama undur diri dari SingPost di tengah penyusunan semula struktur syarikat
(Dari kiri) Noel Singgi, Sehr Ahmed, Lee Eng Keat, Michelle Lee dan Audrey Teoh mengundur diri dari SingPost. (Gambar: SingPost, LinkedIn)
Mediacorp difahamkan bahawa lima eksekutif itu termasuk Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan Encik Noel Singgih dan Ketua Pegawai Kakitangan Kumpulan Cik Sehr Ahmed.
Cik Audrey Teoh, Cik Michelle Lee dan Encik Lee Eng Keat, yang merupakan ketua pegawai kesealamatan, ketua pegawai kemampanan dan ketua strategi dan komunikasi, juga sudah mengundur diri dari SingPost.
Semua lima eksekutif tidak lagi disenaraikan di laman SingPost setakat Selasa (1 Apr).
Encik Lee dan Cik Teoh mengumumkan pengunduran mereka di LinkedIn pada Selasa.
Menurut Cik Teoh beliau mengundur diri untuk "berehat dan meningkatkan kemahiran" dan bahawa beliau kini terbuka kepada peluang-peluang baharu dalam keselamatan siber dan daya bingkas perniagaan.
Dalam catatannya, Encik Lee menulis bahawa beliau sudah "menutup satu lembaran" dengan SingPost dan sedang melangkah untuk "meneroka peluang-peluang baharu".
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SingPost berkata syarikat itu sedang "melakukan penyusunan semula struktur" dan ini akan mengambil masa beberapa bulan.
"Demi menghormati privasi kakitangan, kami tidak mendedahkan butiran mengenai pegawai tertentu. Tumpuan kami kekal pada usaha mengukuhkan operasi dan kemampanan di samping menguruskan proses ini dengan berhati-hati bagi kakitangan kami," tambah jurucakap itu.
Pada Februari. SingPost menyatakan pihaknya akan memberhentikan 45 kakitangan - khususnya dalam unit sokongan korporat - dalam latihan penyusunan semula struktur itu.
"Bagi peranan yang terjejas, syarikat sudah menggunakan semua pilihan untuk mencari peranan alternatif dalam SingPost," menurut SingPost pada waktu itu.
SingPost menambah pemberhentian itu "tidak ada kaitan" dengan mana-mana insiden sebelum ini atau aduan individu.
Pada Disember tahun lalu, SingPost memecat tiga eksekutif kanan menyusuli siasatan ke atas satu aduan yang diterima yang mendapati berlaku "kecuaian melampau" dalam cara mereka mengendalikan siasatan dalaman.
Tiga eksekutif itu, CEO Kumpulan Vincent Phang, CFO Kumpulan Vincent Yik dan ketua eksekutif unit perniagaan antarabangsa SingPost Li Yu, berkata mereka akan mencabar pemecatan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.