Skip to main content

Singapura

Lim Tean minta mahkamah gugurkan tuduhan terhadapnya meski bertindak sebagai peguam tanpa lesen

Anggaran Waktu Membaca:
Lim Tean minta mahkamah gugurkan tuduhan terhadapnya meski bertindak sebagai peguam tanpa lesen

Lim Tean di Mahkamah Negara pada 12 Mei 2022. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Pasukan peguam bela bagi Lim Tean berkata pada Khamis (28 Dis) bahawa mereka akan memohon agar tuduhan terhadap peguam dan ketua pembangkang itu digugurkan setelah pihak pendakwaan menutup kes tersebut.

Peguam bela Encik Lim, Patrick Fernandez berkata beliau akan berhujah bahawa "tiada sebab untuk menjawab" tiga tuduhan yang dihadapi Lim di bawah Akta Kerjaya Guaman (LPA) kerana bertindak sebagai peguam tanpa sijil amalan yang sah.

Di akhir hari kedua perbicaraan Lim pada Khamis, Encik Fernandez berkata beliau akan membuat hujahan bertulis bagi memohon Lim dibebaskan apabila kes itu disambung semula pada awal tahun depan.

Permohonan itu akan dibuat atas dasar para peguam bela percaya bahawa pihak pendakwa tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyokong kes tersebut.

Lim, 59 tahun, yang merupakan pemimpin Parti Suara Rakyat, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga tuduhan itu apabila kes tersebut dibicarakan pada Rabu selepas empat bulan tertangguh.

Dalam perkembangan berasingan pada Khamis (28 Dis), Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Edwin Soh menyentuh dua perkara yang dibangkitkan oleh peguam bela semasa perbicaraan pada Rabu.

Yang pertama berkaitan dengan nota bukti yang memperincikan masa Lim hadir di mahkamah tanpa sijil amalannya sebagai peguam, yang menurut para peguam bela tidak lengkap.

DPP Soh berkata bahawa pihak pendakwa telah menyemak dan nota bukti adalah lengkap kecuali beberapa perbicaraan mahkamah tentera kerana terdapat beberapa muka surat berhubung kehadiran tersebut.

Halaman-halaman yang hilang itu sudah dicetak dan diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada bukti pihak pendakwa.

Hujah kedua yang dibangkitkan DPP Soh adalah mengenai permintaan pihak peguam bela untuk meneliti laporan maklumat pertama berhubung dakwaan kesalahan Lim.

"Tiada laporan maklumat pertama dibuat kepada CAD (Jabatan Ehwal Komersial) kerana pendaftar Mahkamah Agung yang memaklumkan Pejabat Peguam Negara (AGC) apabila pendaftar menyedari bahawa Encik Lim menghadiri mahkamah tanpa sijil amalan yang sah," kata DPP Soh.

Beliau menambah bahawa AGC kemudian menyerahkan kes itu kepada CAD.

Lim akan dihadapkan semula ke mahkamah bagi sidang praperbicaraan pada 11 Jan 2024.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita