Skip to main content

Singapura

Lim Tean dihukum penjara, denda kerana jalankan tugas peguam tanpa sijil sah

Anggaran Waktu Membaca:
Lim Tean dihukum penjara, denda kerana jalankan tugas peguam tanpa sijil sah

Lim Tean tiba di Mahkamah Negara pada 17 Februari 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 17 Feb 2025 10:56PM Dikemas Kini : 17 Feb 2025 10:58PM
SINGAPURA: Peguam dan ahli politik pembangkang Lim Tean dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan denda S$1,000 pada Isnin (17 Feb) kerana menjalankan tugas peguam tanpa sijil yang sah.

Encik Lim memberitahu Mediacorp bahawa beliau akan membuat rayuan terhadap sabitan dan hukumannya. Hukuman penjaranya ditangguhkan untuk bermula pada 3 Mac, selepas mahkamah meluluskan permintaan peguamnya.

Beliau juga menghadapi empat tuduhan lain, termasuk pecah amanah jenayah sebagai peguam, yang masih belum diputuskan oleh mahkamah.

Encik Lim, 60 tahun, adalah pengasas parti Suara Rakyat (PV) dan setiausaha agung Perikatan Rakyat, sebuah perikatan parti-parti Pembangkang.

Dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2020, beliau mengetuai pasukan empat orang dari PV yang kalah kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jalan Besar.

Hukuman Encik Lim tidak mencapai ambang di mana beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi Anggota Parlimen.

Di bawah Perlembagaan, sesiapa yang didenda sekurang-kurangnya S$10,000 atau dipenjara sekurang-kurangnya satu tahun bagi satu kesalahan akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi Anggota Parlimen.

"TIDAK MENUNJUKKAN RASA KESAL"

Dalam kes berkenaan, Encik Lim disabit kesalahan pada Julai 2024 oleh Hakim Daerah Kanan Ong Hian Sun selepas perbicaraan.

Beliau didapati bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Kerjaya Guaman kerana bertindak sebagai peguam bela dan peguam cara tanpa kebenaran antara 1 April 2021 dan 9 Jun 2021.

Sijil untuk menjalankan tugas peguam bagi Encik Lim hanya dikeluarkan pada 10 Jun 2021.

Dua bulan sebelum itu, Encik Lim telah menjalankan atau mempertahankan prosiding mahkamah sebanyak 32 kali dan menyediakan dokumen atau bahan berkaitan prosiding sebanyak itu juga.

Peguam Encik Lim, Patrick Fernandez, berhujah bahawa sijil itu menyatakan bahawa Encik Lim "diberi kuasa untuk menjalankan tugas sebagai peguam bela dan peguam cara di Singapura semasa tahun amalan yang berakhir pada 31 Mac 2022".

Tahun untuk menjalankan tugas itu, yang bermula dari 1 April 2021 hingga 31 Mac 2022, sepatutnya merangkumi tempoh di mana Encik Lim dituduh bertindak sebagai peguam tanpa kebenaran, menurut hujah pihak pembela.

Pihak pembela berhujah bahawa Encik Lim tidak berniat untuk melakukan kesalahan tersebut, dan bahawa beliau mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah.

Encik Fernandez berkata Encik Lim memaklumkan dengan jelas kepada Persatuan Undang-Undang (LawSoc) bahawa beliau tidak mempunyai sijil untuk menjalankan tugas dan bertanya sama ada dia masih boleh ke mahkamah. Beliau diberitahu bahawa beliau boleh tetapi perlu memaklumkan kepada hakim.

Encik Lim berkata bahawa dia telah memaklumkan Hakim mengenai perkara ini semasa prosiding mahkamah, tetapi ia tidak dirakam dalam transkrip.

Walau bagaimanapun, Hakim Ong memutuskan bahawa tidak ada ketidakpastian dalam bahagian yang berkaitan dalam Akta Kerjaya Guaman, dan bahawa Encik Lim gagal menunjukkan bagaimana dia mungkin boleh tersilap dalam tafsirannya.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Yiwen, Edwin Soh dan Bryan Wong memohon hukuman penjara antara lima hingga lapan bulan.

Mereka berhujah bahawa hukuman mahkamah harus mencerminkan keperluan untuk melindungi orang awam daripada orang yang tidak diberi kuasa yang menyediakan perkhidmatan undang-undang, dan menunjukkan rasa tidak setuju terhadap sikap yang "tidak menunjukkan kekesalan" oleh Encik Lim.

Peguam pembela Encik Fernandez memohon jumlah denda sebanyak S$4,500, sambil berhujah bahawa skala tindakan Encik Lim tidak mencapai ambang untuk hukuman penjara.

Pada Isnin, Hakim bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa Encik Lim tidak menunjukkan kekesalan, dan mendedahkan kliennya kepada risiko tidak mempunyai jalan untuk mendapatkan insurans liabiliti profesional.

"Dia telah dalam tindakannya menipu kliennya, peguam lain, pegawai awam dan Hakim," kata Hakim Ong.

Sebagai peguam selama bertahun-tahun lamanya, Lim sepatutnya tahu bahawa apabila sijil untuk menjalankan tugas tamat tempoh pada 31 Mac 2021, dia mempunyai masa sehingga akhir April untuk memperbaharuinya, jika tidak dia akan dianggap sebagai seorang peguam tanpa lesen, kata Hakim itu.

Atas tindakannya menjalankan tugas peguam tanpa sijil yang sah di bawah Akta Kerjaya Guaman, Encik Lim boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$25,000, atau kedua-duanya sekali.

Encik Lim masih dituduh menyalahgunakan S$30,000 yang diamanahkan kepadanya antara 14 November 2019 hingga 4 Disember 2019.

Dia juga menghadapi tuduhan mengganggu bekas pekerja syaikat guamannya pada 2020, termasuk dakwaan menghantar kiriman teks yang 'menggoda'.

Encik Lim sebelum ini menunjukkan melalui peguamnya bahawa dia berniat untuk mempertikai tuduhan-tuduhan ini. Kesnya dijadualkan untuk persidangan praperbicaraan pada 3 Mac.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita