Lim Tean didenda S$30,000, langgar peraturan pengendalian wang klien
Peguam Lim Tean didenda S$30,000 pada Jumaat (10 Apr) berhubung tindakannya dalam mengendalikan wang milik bekas kliennya, dengan Mahkamah Tiga Hakim menolak permohonan Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) untuk menggugurkan namanya daripada senarai peguam.
Lim Tean tiba di Mahkamah Negara pada 17 Februari 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Mahkamah Rayuan Tay Yong Kwang dan Hakim Kanan Andrew Phang mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk mengenakan tindakan disiplin berhubung pertuduhan kedua terhadap Lim.
Namun, mereka mendapati LawSoc gagal membuktikan kesalahan Lim melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan pertama, yang mendakwa Lim menerima dan menunaikan cek secara tidak wajar selepas dilucutkan sebagai peguam oleh bekas kliennya, Encik Suresh Kumar A Jesupal.
Kes disiplin itu berpunca daripada tuntutan kemalangan kenderaan bermotor, di mana Encik Suresh melantik firma Lim, Carson Law Chambers, pada Oktober 2018.
LawSoc mendakwa bahawa walaupun Lim sudah dilucutkan oleh Encik Suresh sekitar 13 November 2019, dia menerima atau terus memegang cek bernilai S$30,000, yang merupakan bayaran interim daripada jumlah penyelesaian bagi Encik Suresh.
Ini membentuk asas pertuduhan pertama. Pada hari yang sama, Encik Suresh melantik firma guaman Joseph Chen & Co untuk mewakilinya dan menggantikan Lim.
Pertuduhan kedua berkaitan kegagalan Lim memasukkan S$30,000 tersebut ke dalam akaun klien firmanya, sekali gus melanggar Peraturan Profesion Undang-Undang (Akaun Peguam Cara) (LPSAR).
Menurut LawSoc, pertuduhan tersebut merupakan satu salah laku serius.
Pertuduhan ketiga, yang menuduh Lim menyalahgunakan wang tersebut, digugurkan selepas Encik Suresh enggan untuk memberi keterangan.
Lim, seorang peguam dengan lebih 30 tahun pengalaman, sebelum ini didapati bersalah oleh tribunal tatatertib atas pertuduhan-pertuduhan tersebut.
Dalam satu perbicaraan di hadapan Mahkamah Tiga Hakim pada Januari, LawSoc berhujah agar Lim digugurkan daripada senarai peguam, atau digantung amalannya selama lima tahun serta didenda S$30,000.
Mewakili dirinya sendiri, Lim, yang juga seorang ahli politik pembangkang, berhujah agar dikenakan denda.
KEPUTUSAN MAHKAMAH TIGA HAKIM
Mewakili Mahkamah Tiga Hakim, Ketua Hakim Menon berkata bagi pertuduhan pertama, LawSoc gagal mencabar bukti penting yang dikemukakan oleh Lim.
Secara khusus, LawSoc tidak mempertikaikan kesahihan atau kebolehterimaan dokumen yang dikemukakan oleh Lim. Dokumen-dokumen tersebut adalah borang yang ditandatangani Encik Suresh dan rakannya, Encik Tarmmar Razu Doriasamy, untuk mengesahkan penerimaan bayaran masing-masing sebanyak S$5,000 dan S$22,200 dalam satu pertemuan pada 26 November 2019.
Pertemuan itu sepatutnya merupakan susulan kepada pertemuan terdahulu pada 15 November 2019.
Menurut Lim, dia bertemu Encik Suresh pada 15 November 2019 dan kedua-dua pihak bersetuju Lim akan terus mewakili Encik Suresh, menunaikan cek tersebut dan membuat pembayaran.
Namun, menurut dapatan tribunal tatatertib, yang turut diterima pakai LawSoc, tiada pertemuan berlaku pada 15 November 2019.
Memandangkan LawSoc tidak mencabar bukti berkaitan pertemuan pada 26 November 2019, Mahkamah Tiga Hakim menyatakan LawSoc pada asasnya terikat untuk menerima versi kejadian Lim. Ini menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan pertama yang menyatakan bahawa Lim sudah dilucutkan sekitar 13 November 2019.
“Kami tidak melihat bagaimana (LawSoc) boleh dianggap telah memenuhi beban pembuktian bagi unsur pertuduhan pertama melampaui keraguan munasabah,” kata Ketua Hakim Menon.
Bukti tersebut juga menimbulkan keraguan terhadap dapatan tribunal tatatertib bahawa tiada pertemuan berlaku pada 15 November 2019.
Tribunal tatatertib tersilap kerana gagal mempertimbangkan serta membuat dapatan yang sewajarnya berhubung pertemuan pada 26 November 2019, dan menolaknya tanpa analisis yang mencukupi, kata Ketua Hakim Menon.
Mahkamah Tiga Hakim seterusnya membatalkan sabitan bagi pertuduhan pertama terhadap Lim.
Bagi pertuduhan kedua, yang tidak dicabar dengan serius oleh Lim, mahkamah berpuas hati bahawa ia sudah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
Ketua Hakim Menon berkata ia jelas bahawa S$30,000 yang diterima adalah wang klien yang tertakluk kepada LPSAR.
Beliau menambah Lim tidak mempertikaikan bahawa dia gagal memasukkan cek tersebut ke dalam akaun klien Carson Law Chambers.
Lim berhujah kegagalannya memasukkan cek ke dalam akaun klien berpunca daripada kecuaian kerana dia tidak biasa dengan keperluan kerja melibatkan kecederaan peribadi, serta menambah bahawa firmanya tidak mempunyai akaun klien.
Namun, Ketua Hakim Menon berkata itu bukan satu pembelaan.
"Ketidaktahuan keperluan di bawah LPSAR bukan alasan untuk melanggarnya. Malah, ia memburukkan lagi pelanggaran kerana ia merupakan keperluan asas yang terpakai kepada semua peguamcara,” kata beliau.
“Malah, ketidaktahuan yang didakwa responden serta ketidakpatuhannya terhadap LPSAR mencemarkan maruah beliau dalam profesionnya.”
Mahkamah Tiga Hakim berpandangan bahawa denda kewangan adalah sesuai memandangkan tiada unsur ketidakjujuran.
“Responden tidak bersikap tidak jujur – dia memasukkan cek tersebut ke dalam akaun pejabat Carson Law Chambers kerana percaya dirinya masih dilantik untuk mewakili Encik Suresh dan bertindak mengikut arahan Encik Suresh, walaupun tindakan itu tetap tidak wajar kerana sekurang-kurangnya sebahagian daripada wang tersebut merupakan wang klien yang sepatutnya dibayar kepada Encik Suresh,” kata Ketua Hakim Menon.
Mahkamah menetapkan jumlah denda pada S$30,000 selepas mempertimbangkan ketiadaan faktor mitigasi serta beberapa faktor pemberat yang memerlukan hukuman lebih berat.
Kecuaian Lim yang didakwa sebagai alasan tidak memasukkan cek ke dalam akaun klien dianggap sebagai satu faktor pemberat.
“Pada pandangan kami, sikap responden terhadap tanggungjawab serius peguamcara dalam mengurus dan mengendalikan wang klien mengikut peraturan mencerminkan kekurangan ketelitian asas yang ketara.
“Ia menunjukkan kekurangan komitmen terhadap tanggungjawab besar peguamcara yang memikul amanah untuk menerima dan memegang wang klien. Sikap sambil lewa responden terhadap tanggungjawab ini amat dikesali,” kata Ketua Hakim Menon.
Selain itu, Lim sepatutnya menjelaskan pihak atau firma mana yang mewakili Encik Suresh, walaupun Lim mendakwa wujudnya “ketegangan” antara dirinya dengan Encik Joseph Chen, kata Ketua Hakim Menon.
Peguam seharusnya bertindak secara profesional walau apa pun perbezaan peribadi yang dihadapi, tambah beliau.
Satu lagi faktor yang dipertimbang mahkamah ialah kedudukan Lim sebagai peguam kanan dengan pengalaman lebih 25 tahun ketika itu.
“Ia sudah menjadi prinsip bahawa semakin berpengalaman seseorang peguam, semakin besar kesan terhadap reputasi profesion undang-undang akibat salah lakunya,” kata Ketua Hakim Menon.
Lim dikehendaki membayar denda tersebut dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman serta kos sebanyak S$12,000.
Secara berasingan, pada Februari tahun lalu, Lim dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan denda S$1,000 kerana menjalankan amalan guaman tanpa sijil yang sah. Lim juga masih berdepan pertuduhan jenayah lain dan dijadual menghadiri persidangan praperbicaraan di Mahkamah Negara pada hujung bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.