Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lim Tean didakwa gelapkan S$30,000, ganggu bekas pekerja

Anggaran Waktu Membaca:
Lim Tean didakwa gelapkan S$30,000, ganggu bekas pekerja

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

SINGAPURA: Peguam dan pemimpin sebuah parti pembangkang, Lim Tean, didakwa pada Khamis (12 Mei) atas tuduhan pecah amanah, mengganggu bekas pekerja dan bertindak selaku peguam tanpa sijil pengamal undang-undang yang sah.

Encik Lim, 57 tahun, yang memimpin Parti Suara Rakyat (PV) dan firma guaman Carson Law Chambers, mungkin berdepan dengan lebih banyak tuduhan menipu dan melakukan pecah amanah, Timbalan Pendakwa Raya Edwin Soh memberitahu mahkamah.

Sebelum ini, Encik Lim diberkas pada Oktober 2020 apabila dia tidak memberikan kerjasama dalam siasatan polis.

Encik Lim kemudian membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menghalang polis daripada meneruskan siasatan terhadapnya. Namun, permohonannya itu ditolak dan dia diarahkan supaya membayar kos guaman.

Tuduhan melakukan gangguan yang menyalahi undang-undang berkaitan dengan dakwaan Lim mengganggu seorang bekas pekerja pada 2020 semasa wanita itu bekerja di firma guamannya.

Menurut dokumen mahkamah, Encik Lim dipercayai berulang kali menghantar "kiriman mesej yang cuba menggoda" kepada Cik S Priyanka Aunnucia antara April hingga Mei 2020 sehingga menyebabkan wanita itu tertekan. Ini dilakukan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan di mana pergerakan dan kegiatan disekat akibat pandemik COVID-19.

Bagi tuduhan jenayah pecah amanah pula, Encik Lim dituduh menyalahgunakan S$30,000 yang diberikan kepada bekas anak guamnya, Encik Suresh Kumar A Jesupal, sebagai penyelesaian dalam saman sivil kecederaan motor.

Perbuatan itu dipercayai berlaku antara 14 November hingga 4 Disember 2019.

Encik Lim juga berdepan dengan tiga tuduhan bertindak sebagai peguam bela atau peguam cara tanpa sijil pengamal undang-undang yang sah. Dia melakukan perkara tersebut sebanyak 66 kali antara 1 April hingga 9 Jun tahun lalu.

Pada Khamis (12 Mei), DPP Soh berkata Jabatan Ehwal Komersil SPF memerlukan dua bulan "untuk menyelesaikan siasatan bagi kemungkinan kesalahan-kesalahan lanjut" terhadap Encik Lim, yang membabitkan "kemungkinan melakukan penipuan dan pecah amanah".

Hakim Daerah Terence Tay menangguhkan kes tersebut kepada 6 Julai untuk persidangan sebelum perbicaraan. Encik Lim dibebaskan dengan ikat jamin S$30,000.

Jika didapati bersalah melakukan gangguan yang salah di sisi undang-undang, Encik Lim boleh dipenjara sehingga 12 bulan atau didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa sahaja yang didapati bersalah melakukan pecah amanah sebagai seorang peguam boleh berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup atau sehingga 20 tahun serta didenda.

Encik Lim juga boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi S$25,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan bertindak selaku peguam bela atau peguam cara tanpa sijil pengamal undang-undang yang sah.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan