Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lim Chu Kang akan diubah menjadi kelompok pertanian agromakanan berteknologi tinggi

Tanah seluas 390 hektar di kawasan Lim Chu Kang akan dibangunkan semula menjadi sebuah kelompok agromakanan berteknologi tinggi untuk beberapa tahun akan datang bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (2 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Oct 2020 03:04PM Dikemas Kini : 02 Oct 2020 11:56PM

SINGAPURA: Tanah seluas 390 hektar di kawasan Lim Chu Kang akan dibangunkan semula menjadi sebuah kelompok agromakanan berteknologi tinggi untuk beberapa tahun akan datang bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (2 Okt).

Kerja-kerja pembangunan tanah seluas 390ha itu dijangka bermula pada 2024 dan akan dijalankan secara bertahap-tahap, kata SFA dalam satu kenyataan.

Agensi itu menambah bahawa sebuah pelan induk kerja-kerja pembangunan akan dilaksanakan dengan rundingan bersama pihak-pihak berkepentingan dan ia akan selesai dalam dua hingga tiga tahun akan datang.

Ini termasuk bekerjasama dengan kumpulan alam sekitar tempatan untuk menjalankan kajian sekitaran supaya dapat lebih memahami ekosistem di kawasan itu yang akan dipertimbangkan dalam pelan induk tersebut.

Sekarang ini, Singapura mengimport lebih daripada 90 peratus bekalan makanannya, menurut SFA, yang mendedahkan Singapura kepada gangguan dalam rantaian bekalan sejagat.

Matlamatnya adalah untuk 30 peratus daripada keperluan pemakanan Singapura dipenuhi oleh makanan yang dihasilkan secara tempatan menjelang 2030, menurut SFA.

Matlamat "30 by 30" atau "30 menjelang 30" akan memastikan terdapat bekalan makanan segar dan selamat sebagai penimbal di sini, terutama sekali bagi produk makanan seperti telur, ikan dan sayur-sayuran berdaun.

Dalam kenyataannya, SFA menyatakan kesemua ladang di kawasan Lim Chu Kang akan dapat kekal sehingga tamat tempoh pajakan mereka.

Sebanyak 10 ladang pertanian makanan dan 13 ladang bukan untuk tujuan penghasilan makanan, yang tempoh pajakannya berakhir antara 2020 dengan 2022, akan ditawarkan lanjutan pajakan singkat. Tanah itu akan dibangunkan semula sejajar dengan pelan induk selepas itu.

Satu ladang pertanian makanan dan dua ladang bukan untuk tujuan penghasilan makanan yang tempoh pajakannya berakhir antara 2026 dengan 2027 dibenarkan untuk kekal di situ sehingga tempoh pajakan berakhir.

SFA menyatakan agensi itu dan Lembaga Taman Negara (NParks) akan bekerjasama dengan ladang-ladang itu bagi menyokong rancangan peralihan mereka.

TINGKATKAN PENGHASILAN

SFA juga menyatakan ia akan meneliti pembangunan kemudahan dikongsi bagi mengurangkan kos penghasilan dan penggunaan sumber sebagai sebahagian daripada pelan induk itu.

Agensi itu akan membangunkan kemudahan air, elektrik dan prasarana pengangkutan bagi menyokong sistem pertanian berteknologi tinggi. Ini sekali gus akan menarik generasi pekerja-pekerja agroteknologi baru yang berkemahiran, katanya.

"Ini sebagai tindak balas kepada maklum balas daripada industri itu dan akan menangani kesukaran yang dikemukakan oleh industri itu sebelum ini dan menyediakan ladang-ladang dengan prasarana dan sokongan yang diperlukan untuk memperluaskan dan meningkatkan penghasilan," menuut SFA.

SFA juga akan mengkaji bagaimana ia boleh menjimatkan penggunaan sumber dan mengurangkan sisa dengan mengamalkan prinsip ekonomi pekeliling.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan