Skip to main content

Singapura

Li Shengwu didapati bersalah hina mahkamah; didenda S$15,000

Encik Li Shengwu, cucu Lee Kuan Yew dan anak lelaki Lee Hsien Yang, didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan didenda S$15,000.

Anggaran Waktu Membaca:
Li Shengwu didapati bersalah hina mahkamah; didenda S$15,000

Encik Li Shengwu. (Gambar: Tim McLaughlin/Reuters)

Diterbitkan : 29 Jul 2020 12:34PM Dikemas Kini : 29 Jul 2020 12:37PM

SINGAPURA: Encik Li Shengwu, cucu Lee Kuan Yew dan anak lelaki Lee Hsien Yang, didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan didenda S$15,000.

Jika tidak membayar denda, Encik Li perlu menjalani hukuman penjara selama seminggu, kata Hakim Kannan Ramesh semasa menjatuhkan hukuman pada Rabu (29 Jul).

Wakil Peguam Negara, yang mengusulkan denda, menarik perhatian bahawa Encik Li sudah dimaklumkan mengenai perbicaraan itu tetapi tidak hadir.

Encik Li, seorang rakyat Singapura, adalah penolong profesor ekonomi di Universiti Harvard dan menetap di Amerika Syarikat.

Peguam Negara meminta perintah komital kerana menghina mahkamah di bawah bidang kuasa mahkamah, terhadap Encik Li berhubung catatan di laman Facebooknya, kata Hakim Kannan.

Catatan itu ditulis pada 2017 oleh Encik Li, anak saudara Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Ia turut melampirkan pautan ke sebuah rencana New York Times yang berjudul Censored In Singapore, berserta kapsyen yang berbunyi: "Ingatlah, tentu sekali , pemerintah Singapura cenderung membuat tuntutan dan memiliki sistem mahkamah yang mudah dipengaruhi."

Para wakil Peguam Negara berhujah catatan itu menghina sistem kehakiman negara dengan mewujudkan risiko nyata bagi menggugat keyakinan awam terhadap pentadbiran undang-undang di Singapura.

Encik Li pada mulanya mengambil bahagian dalam prosiding itu, bersama para peguam yang mewakilinya, tetapi mereka mengundurkan diri pada Februari tahun ini, beberapa hari setelah Encik Li menulis di Facebook yang mengatakan beliau tidak lagi akan mengambil bahagian dalam prosiding tersebut.

Para peguam sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa waran tangkap mungkin dikeluarkan jika Encik Li didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan boleh diberkas jika pulang ke Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita