LGBT Muslim di S'pura tetap mahu amal agama Islam, kekalkan identiti Islam mereka - PERGAS
Ketua Pegawai Eksekutif PERGAS berkongsi dapatan awal itu dengan BERITAmediacorp sambil menambah bawah badan ulama itu sejauh ini sudah berdialog dengan 15 anggota LGBT Muslim dan aktivis LGBT yang mewakili lebih lapan kumpulan.
BERITAmediacorp: Sejak bertemu dengan sekumpulan lesbian, gay, biseksual atau transgender (LGBT) beragama Islam di Singapura, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) mendapati golongan itu berdepan dengan satu keadaan yang cukup kompleks.
Walaupun sebagai LGBT, golongan itu ingin terus mengamalkan agama Islam mahupun mengekalkan identiti mereka sebagai orang Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif PERGAS, Ustaz Dr Mohamed Qusairy Taha berkongsi dapatan awal itu dengan BERITAmediacorp sambil menambah bahawa badan ulama tersebut sejauh ini sudah berdialog dengan 15 anggota LGBT Muslim dan aktivis LGBT yang mewakili lebih lapan kumpulan.
Ini dilakukan menerusi dua sesi dialog pertama seumpamanya anjuran PERGAS dalam usaha membina kefahaman mengenai isu LGBT.

Peranan asatizah dalam menangani isu ini turut dibangkitkan semasa sesi-sesi dialog itu.
"Mereka (Golongan LGBT) mengatakan bahawa peranan asatizah itu sangat penting dalam membantu mereka menghadapi cabaran-cabaran. Contohnya, cabaran menghadapi diskriminasi dan dipinggirkan oleh keluarga," kata Ustaz Dr Qusairy.
PERGAS ORAK LANGKAH LAKAR PANDUAN KEAGAMAAN KOMPREHENSIF
Berkongsi lebih lanjut secara eksklusif bersama BERITAmediacorp, Ustaz Dr Qusairy mendedahkan bahawa PERGAS sudahpun mula melakarkan satu "panduan keagamaan yang komprehensif".
"Yang ingin dicapai adalah untuk menghasilkan panduan keagamaan yang boleh dijadikan panduan bagi para asatizah, masyarakat dan para pelajar, dari segi bagaimana (mereka boleh) melihat dan menangani isu ini secara bijaksana. Jadi kita tidak mahu contohnya mendiskriminasi ataupun melayani golongan-golongan tertentu dengan cara yang tidak sesuai," terang beliau.
PERGAS membentuk sebuah pasukan bertindak khas pada suku terakhir tahun lalu bagi membantu masyarakat Islam Singapura menghadapi dan menangani isu-isu LGBT di Singapura.
Kumpulan inilah yang sedang melakar panduan keagamaan tersebut. PERGAS bagaimanapun belum mendedahkan sebarang garis masa mengenai bila garis panduan yang merangkumi pelbagai aspek itu akan dikongsikan kepada masyarakat Melayu/Islam.
"Tentunya untuk menghasilkan panduan ini, kita berunding dengan pakar-pakar dalam pelbagai bidang kerana ini adalah suatu isu yang kompleks. Antara bidang yang disentuh adalah moral, etika, sosial dan juga agama," jelas Ustaz Dr Qusairy lagi.
INGIN TURUT GANDING BAHU DENGAN MADRASAH, MUIS
Di samping itu, pasukan bertindak PERGAS juga sedang mencari cara untuk mendidik masyarakat tentang isu-isu LGBT.
"Antaranya dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan seperti MUIS, madrasah, dan juga para asatizah sendiri. Kami dapati kaunseling cara yang sesuai untuk mendekati dan mendidik terutamanya golongan LGBT Muslim dan juga ahli keluarga mereka," ujar Ustaz Dr Qusairy.
Persatuan asatizah itu juga akan mengupaya asatizah - yang kini dalam proses mendapatkan kemahiran relevan - untuk menyumbang dan memberi nasihat mengenai isu-isi LGBT, menerusi 'Asatizah Solace Care' atau Jagaan Tenang Asatizah.
Pendek kata, panduan keagamaan itu mahu mengambil pendekatan segenap masyarakat.
"Bagaimana masyarakat secara bersama - institusi-institusi keagamaan seperti MUIS, madrasah, masjid dan juga persatuan-persatuan yang lain - bagaimana kita dapat bersatu dan juga mengeluarkan satu prinsip yang sama dalam menghadapi isu ini."
Menurut badan ulama itu lagi, golongan LGBT Muslim yang ditemuinya berharap agar kerjasama yang terjalin dengan PERGAS dapat diteruskan pada masa akan datang.
Ini menurut Ustaz Dr Qusairy suatu "dapatan yang positif" kerana wujudnya kesediaan untuk "menghadapi isu (LGBT) ini secara bersama".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.