Skip to main content

Singapura

Letusan Anak Krakatau: 301 penerbangan terjejas, penumpang terkandas di Changi, Jakarta

Ratusan penerbangan terjejas manakala para penumpang terkandas di lapangan terbang di Singapura dan Jakarta pada Ahad (6 Sep), selepas abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau menjejas perjalanan antara kedua-dua hab itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Letusan Anak Krakatau: 301 penerbangan terjejas, penumpang terkandas di Changi, Jakarta

Para penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan menyusuli aktiviti Gunung Anak Krakatau beratur di kaunter bantuan Singapore Airlines di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 6 September 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 06:35PM
  • Letusan Gunung Anak Krakatau menyebabkan lebih 300 penerbangan di Jakarta dan Singapura terjejas, termasuk pembatalan dan kelewatan.
  • Penumpang seperti Encik Ahmad dan Encik Muhammad Akbar terkandas, ramai tidak menerima makluman tepat mengenai status penerbangan mereka.
  • Lapangan Terbang Soekarno-Hatta ditutup lebih lama daripada jadual asal, menyebabkan barisan panjang dan penumpang mencari alternatif perjalanan atau bayaran balik.
  • Syarikat penerbangan seperti SIA menawarkan bayaran balik, namun penumpang menghadapi ketidakpastian dan perlu mengubah rancangan perjalanan mereka.
Dijana oleh AI
SINGAPURA/JAKARTA: Ratusan penerbangan terjejas manakala para penumpang terkandas di lapangan terbang di Singapura dan Jakarta pada Ahad (6 Sep), selepas abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau menjejas perjalanan antara kedua-dua hab itu.

Berdasarkan data penerbangan antara 1.30 pagi hingga 1.30 tengah hari pada Ahad (6 Sep), 301 penerbangan terjejas akibat pembatalan, kelewatan, pengalihan ke lapangan terbang lain serta gangguan operasi lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Daripada jumlah itu, 233 merupakan penerbangan domestik, 58 penerbangan antarabangsa dan 10 penerbangan kargo.

Operasi di lapangan terbang utama Jakarta itu dijadualkan disambung semula pada 6.30 petang waktu Singapura.

Penutupan itu sebelum ini dijadualkan berakhir pada 6.30 pagi waktu Singapura, namun dilanjutkan beberapa kali.

Sekurang-kurangnya 19 penerbangan Singapore Airlines (SIA) turut dibatalkan akibat letusan Gunung Anak Krakatau, yang terletak sekitar 180 kilometer dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

WARGA SINGAPURA TETAP KE CHANGI SELEPAS TIDAK DIMAKLUMKAN

Seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ahmad berkata beliau menuju ke Jakarta untuk bercuti sebelum memulakan pekerjaan baharu.

Encik Ahmad, 37 tahun, sudah mengetahui mengenai letusan gunung berapi yang menjejas penerbangan, namun tetap ke Lapangan Terbang Changi kerana tidak menerima makluman daripada SIA tentang pembatalan penerbangannya ke Jakarta.

Isteri, anak-anak dan mentuanya dijadualkan menyertainya di Jakarta pada Selasa (8 Sep) untuk meluangkan masa bersama semasa cuti sekolah September.

Menurut Encik Ahmad, wakil SIA di lapangan terbang memaklumkan bahawa beliau boleh membuat tuntutan bayaran balik bagi kos pengangkutan ke lapangan terbang selagi menyimpan resit.

Beberapa penumpang lain turut memberitahu CNA bahawa mereka tidak menerima maklumat mengenai pembatalan penerbangan atau mendapat maklumat yang tidak tepat menerusi aplikasi SIA.
Related article image
Para penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan dilihat di kaunter bantuan Singapore Airlines di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 6 September 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
BARISAN PANJANG DI JAKARTA

Keadaan sama turut berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta apabila barisan panjang terbentuk sedang para penumpang yang terkandas cuba menjadualkan semula penerbangan, mendapatkan tempat dalam penerbangan alternatif atau memohon bayaran balik.

Ahli perniagaan Muhammad Akbar, 55 tahun, berkata beliau sudah melepasi pemeriksaan imigresen dan tiba di pintu pelepasan apabila dimaklumkan bahawa penerbangannya ke Bangkok dibatalkan.

“Saya faham berlaku letusan gunung berapi tetapi kami perlukan penyelesaian,” katanya.

Encik Akbar berkata beliau terpaksa mengubah urusan hotel, pengangkutan dan aturan jemput di lapangan terbang bagi perjalanan perniagaannya ke Bangkok.

Namun, beliau tidak dapat berbuat demikian selagi tiada kepastian mengenai penerbangannya.
Related article image
Para penumpang menunggu di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta pada 6 September 2026 selepas penerbangan dibatalkan akibat aktiviti Gunung Anak Krakatau. (Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo)
Ramai penumpang dilihat menggunakan telefon untuk menghubungi syarikat penerbangan atau ejen pelancongan bagi mencari pilihan perjalanan lain.

Sebahagian daripada mereka yang sudah menunggu selama beberapa jam pula duduk di lantai atau bersandar pada bagasi sambil menunggu perkembangan mengenai penerbangan masing-masing.

Cik Adria, 46 tahun, yang sepatutnya terbang ke Amsterdam pada awal pagi Ahad (6 Sep), berkata penerbangannya dibatalkan dan beliau kemudian dipindahkan ke penerbangan Emirates.

Namun, beliau masih tidak pasti sama ada penerbangan itu akan berlepas.

Beliau berkata tiket penerbangannya boleh diganti, tetapi penginapan hotel tidak akan ditanggung kerana letusan gunung berapi dianggap sebagai bencana alam.
Related article image
Cik Adria, 46 tahun, sepatutnya terbang ke Amsterdam pada awal pagi Ahad sebelum dimaklumkan bahawa penerbangannya dibatalkan. (Gambar: CNA/Nivell Rayda)
Seorang lagi penumpang Indonesia, Linda, 40 tahun, berkata beliau akhirnya memilih untuk mendapatkan bayaran balik selepas menunggu selama dua jam.

Beliau kini merancang menaiki kereta api ke Yogyakarta atau Semarang sebelum cuba mendapatkan penerbangan ke Bali dari sana.

“Saya rasa itu lebih baik daripada terus berada di sini dan menunggu tanpa kepastian bila lapangan terbang akan dibuka semula,” katanya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita