Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Letupan Tuas: 3 pekerja maut, 5 dalam keadaan tenat

Tiga pekerja meninggal dunia setelah mengalami kelecuran dalam kebakaran di sebuah bangunan perindustrian di Tuas pada Rabu (24 Feb), kata Pesuruhjaya Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSH) Silas Sng pada Khamis.

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan Tuas: 3 pekerja maut, 5 dalam keadaan tenat

Kerosakan di 32E Tuas Avenue 11, di mana kebakaran berlaku pada 24 Feb 2021 (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 25 Feb 2021 04:30PM Dikemas Kini : 25 Feb 2021 04:34PM

SINGAPURA: Tiga pekerja meninggal dunia setelah mengalami kelecuran dalam kebakaran di sebuah bangunan perindustrian di Tuas pada Rabu (24 Feb), kata Pesuruhjaya Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSH) Silas Sng pada Khamis.

Lima lagi orang masih dalam keadaan tenat, sementara dua pekerja dibenarkan pulang dari hospital, tambah Encik Sng.

"Siasatan awal kami menunjukkan bahawa kemalangan ini disebabkan oleh letupan debu yang mudah terbakar. Debu dalam kes ini adalah dalam bentuk serbuk kanji kentang, yang merupakan salah satu bahan yang digunakan syarikat ini untuk produknya," kata Encik Sng.

"Kami mesti melakukan sedaya upaya untuk mengelakkan lebih ramai korban nyawa," tambahnya. "Kami menggesa semua syarikat yang melakukan operasi serupa melibatkan bahan mudah terbakar dalam bentuk serbuk untuk mengkaji semula prosedur keselamatan dan sistem pengaliran udara mereka untuk memastikan debu tidak terkumpul di dalam sekitaran tertutup."

"LETUPAN KUAT"

Para pekerja dikejarkan ke hospital dengan kelecuran pada Rabu menyusuli apa yang dikatakan oleh para saksi sebagai "letupan kuat" pada sekitar 11.25 pagi di 32E Tuas Avenue 11.

Sebuah unit di dalam bangunan itu "diselubungi asap" dan anggota bomba dilengkapi alat pernafasan memasuki unit tersebut untuk menentukan lokasi kebakaran, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), sambil menambah bahawa api itu dipadamkan dengan dua jet air.

Para pekerja Stars Engrg sedang menjalankan kerja menggunakan mesin pencampuran perindustrian apabila letupan berlaku, dedah MOM ketika menjawab pertanyaan Mediacorp.

Lapan pekerja di premis tersebut mengalami kelecuran dan dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH), kata MOM pada Rabu malam.

Dua lagi pekerja dari unit bertentangan juga mengalami kelecuran dan dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong. Mereka merupakan pekerja P3 Project, tambah MOM.

Gambar-gambar di kawasan itu menunjukkan kepulan asap dari bangunan itu serta beberapa kenderaan SCDF dan polis.

Video kejadian yang dilihat oleh Mediacorp menunjukkan beberapa pekerja dengan kelecuran dan sebahagian kulit terkopak di bahagian lengan, badan dan belakang mereka. Sesetengah daripada mereka dilihat dengan pakaian terbakar dan cebisan kain di bahu dan kaki mereka.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan