Letupan Sri Lanka: PM Lee kutuk 'serangan kejam', tiada warga S'pura cedera, kata MFA
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau "terkejut dengan serangan-serangan kejam" ke atas beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka pada hari Easter.

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau "terkejut dengan serangan-serangan kejam" ke atas beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka pada hari Easter.
Beliau mengutuk serangan-serangan itu dan menyampaikan ucap takziah kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka.
Menulis di laman Facebook, PM Lee berkata Singapura mengutuk "tindakan keganasan yang tidak masuk akal" seperti itu.
Beliau menambah Singapura berdiri teguh menyokong Sri Lanka dalam usahanya "memelihara keamanan dan kemantapan yang sukar dikecapi di negara itu".
Doa dan ingatan rakyat Singapura katanya bersama rakyat Sri Lanka.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengesahkan setakat ini tiada laporan warga Singapura menjadi mangsa dalam kejadian-kejadian letupan tersebut.
Jurucakap MFA menyatakan kementerian itu sudahpun menghubungi rakyat Singapura yang berdaftar secara online di Colombo.
"Konsulat Besar Kehormat Singapura di Colombo sedang berhubungan rapat dengan pihak berkuasa Sri Lanka dan memantau keadaan di sana dengan teliti.
"Warga Singapura di Colombo harus kekal berwasapada, ikut nasihat pihak-pihak berkuasa tempatan dan terus berhubungan dengan keluarga serta rakan-rakan mereka supaya mereka tahu anda selamat," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.