Skip to main content

Singapura

Letupan pusat servis Audi: Syarikat kereta akan mengaku bersalah atas penggunaan lif secara berbahaya

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan pusat servis Audi: Syarikat kereta akan mengaku bersalah atas penggunaan lif secara berbahaya

Kesan letupan di pusat servis Audi di 55 Ubi Road 1 pada 7 Mac 2023. (Gambar: CNA/Clara Lee)

SINGAPURA: Seorang wakil Premium Automobiles akan mengaku bersalah bagi pihak syarikat atas tuduhan menggunakan lif dengan cara yang berbahaya, sekali gus menyebabkan letupan.

Letupan yang berlaku di pusat servis Audi di Ubi pada Mac 2023 menyebabkan 100 orang dipindahkan dan seorang individu dibawa ke hospital.

Tarikh pengakuan bersalah pada 10 September ditetapkan selepas sebutan lanjut kes pada Jumaat (8 Ogos).

Premium Automobiles menghadapi satu tuduhan di bawah Peraturan Penyenggaraan Bangunan dan Pengurusan Strata (Lif, Tangga Bergerak dan Penyenggaraan Bangunan).

Ia adalah penyewa dan penghuni premis di 55 Ubi Road 1 pada 7 Mac 2023 dan pemilik lif hidraulik dan bilik mesin, iaitu ruang tertutup yang digunakan untuk mengendalikan lif.

Syarikat itu dituduh menggunakan lif dengan cara yang berbahaya dan gagal menghentikan operasinya dengan segera.

Ia dikatakan mengendalikan motor lif berhampiran dengan tangki minyak sisa yang dipasang oleh syarikat dalam bilik mesin yang sama.

Akibatnya, letupan berlaku dalam bilik tersebut, menurut tuduhan itu.

Menurut laporan sebelum ini, apabila Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati bahawa sebahagian dinding luar di sisi bangunan runtuh.

SCDF kemudian menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan kebakaran yang berlaku di bilik motor di tingkat bawah padam sendiri sebelum anggota bomba tiba.

Hukuman bagi pemilik lif yang mengendalikannya dengan cara yang berbahaya ialah penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga S$20,000, atau kedua-duanya sekali.

Oleh sebab tertuduh dalam kes ini adalah sebuah syarikat, hanya denda yang akan dikenakan.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita