Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Letupan gas punca rumah kedai sebahagiannya runtuh di Syed Alwi Road: BCA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Letupan gas awal Selasa (8 Okt) menjadi punca dua rumah kedai di sepanjang Syed Alwi Road sebahagiannya runtuh, menurut Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA).

"BCA dimaklumkan mengenai insiden letupan gas di mana dua unit rumah kedai 2 tingkat di 84 & 85 Syed Alwi Road sebahagiannya runtuh," menurut catatan di Facebook.

BCA mengerahkan jurutera untuk menilai integriti struktur unit rumah kedai dan bangunan bersebelahan selepas kejadian itu.

“Bahagian belakang dua unit rumah kedai itu sebahagiannya runtuh,” katanya.

“Permukaan hadapan dan tangga unit 84 turut rosak akibat letupan itu. Bangunan lain yang bersebelahan tidak terjejas oleh letupan dan selamat.”

BCA menyatakan juruteranya mengarahkan pemilik supaya melaksanakan langkah keselamatan segera untuk mengepung dua unit itu daripada diakses orang awam.

Ia juga menyampaikan Perintah Bangunan Berbahaya dan Perintah Penutupan kepada pemilik dua unit rumah kedai tersebut untuk menutup bangunan.

“Mereka juga dikehendaki segera melantik jurutera profesional untuk memberi nasihat mengenai langkah berjaga-jaga segera bagi mengelak bahaya, menjalankan siasatan terperinci dan mengesyorkan langkah pembetulan kekal untuk dijalankan,” menurut BCA.

Ahli Parlimen Denise Phua (PAP-Jalan Besar) melawat tempat kejadian berikutan kejadian itu.

Beliau diiringi ke belakang kawasan yang dikepung oleh kakitangan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk melihat rumah kedai yang rosak.

“Menurut SCDF, kawasan berhampiran nampaknya selamat tetapi pihaknya akan mengesahkannya dengan lebih lanjut dan memastikan pemeriksaan lanjut dilakukan pada waktu siang,” katanya menjawab soalan pemberita mengenai integriti struktur rumah kedai lain yang berdekatan.

“Setakat ini… dua unit yang terjejas jelas tidak selamat. Bangunan sebelah dianggap selamat buat masa ini, tetapi ia perlu disahkan.”
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan