Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Letupan di Tuas: Pengarah, pengurus Stars Engrg didakwa atas kelemahan keselamatan, halang keadilan

Stars Engrg, pengarahnya Chua Xing Da dan pengurus pengeluaran Lwin Moe Tun pada Khamis (21 Jul) didakwa atas letupan maut di premis syarikat itu di Tuas tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan di Tuas: Pengarah, pengurus Stars Engrg didakwa atas kelemahan keselamatan, halang keadilan

Kerosakan di 32E Tuas Avenue 11. (Gambar: Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Stars Engrg, pengarahnya Chua Xing Da dan pengurus pengeluaran Lwin Moe Tun pada Khamis (21 Jul) didakwa atas letupan maut di premis syarikat itu di Tuas tahun lalu.

Tiga pekerja maut dan tujuh lain cedera dalam letupan di 32E Tuas Avenue 11 pada 24 Februari 2021.

Jawatankuasa siasatan merumuskan pada bulan Mac bahawa letuapan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kegagalan syarikat tersebut untuk memastikan penggunaan selamat sebuah mesin pengadun.

Perniagaan utama Stars Engrg adalah pemasangan sistem perlindungan kebakaran dan tapak kerja itu digunakan bagi mengeluarkan pembalut kalis api.

Jawatankuasa berkenaan mendapati jaket minyak yang rosak dalam mesin pengadun tersebut menyebabkan ledakan awal tersebut. Ini kemudian menyebabkan serbuk kanji berkumpul di udara, sekali gus mencetuskan kebakaran susulan.

Jawatankuasa tersebut juga menyarankan dengan tegas prosiding jenayah ke atas Chua, seorang rakyat Sinagpura, dan warga Myanmar, Lwin Moe Tun.

Chua dikenakan dua tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja kerana gagal memastikan mesin di tempat kerja berada dalam keadaan selamat selain gagal memastikan keselamatan serta kesihatan kakitangannya pada atau sebelum 24 Februari 2021.

Dia dipercayai gagal memastikan mesin pengadun panas di tempat kerja itu selamat digunakan, yang menyebabkan letupan tersebut.

Dia juga dikatakan gagal memastikan para kakitangan Stars Engrg menerima latihan dan penyeliaan secukupnya bagi mengendalikan mesin pengadun panas serta bahawa mereka menggunakannya dalam sebuah persekitaran yang selamat.

Stars Engrg berdepan dua tuduhan serupa kerana gagal memastikan mesin pengadun panas itu selamat digunakan dan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan kakitangannya antara 12 Jun 2020 dengan 24 Februari 2021.

Lwin Moe Tun, yang menyelia pengeluaran pembalut kalis api, dikenakan satu tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja atas kelakuan cuai yang membahayakan keselamatan para pekerja.

Dia dikatakan membenarkan kakitangan Stars Engrg melakukan kerja baik pulih ke atas alat pemanas yang rosak, yang merupakan sebahagian daripada mesin pengadun panas itu, pada atau sekitar 24 Februari 2021.

Kedua-dua lelaki itu juga menghadapi tuduhan-tuduhan menghalang keadilan, dengan Lwin Moe Tun dikenakan dua tuduhan atas kesalahan itu dan Chua pula dikenakan satu tuduhan.

Lwin Moe Tun dituduh memadam mesej dan gambar yang dikaitkan dengan penukaran tidak selamat sebuah alat pemanas yang rosak dari perbualan WhatsApp antara dirinya dengan Encik Subbaiyan Marimuthu, yang maut dalam letupan itu.

Dia dipercayai memadam mesej WhatsApp itu dari telefonnya pada 25 Februari 2021 dan dari telefon Encik Subbaiyan keesokan harinya.

Chua, yang juga menggunakan nama Cai Xingda, dituduh bersubahat dengan Lwin Moe Tun dengan memberitahunya bahawa tiada salahnya untuk memadamkan komunikasi tersebut dari telefonnya pada 25 Februari 2021.

Ketiga-tiga tertuduh akan kembali menghadap mahkamah bagi persidangan sebelum perbicaraan pada hujung bulan Ogos.

Hukuman atas kesalahan gagal memastikan keselamatan sebarang mesin di tapak kerja dan mengambil langkah bagi memastikan keselamatan serta kesihatan kakitangan adalah penjara tidak melebihi dua tahun, denda sehingga S$200,000 atau kedua-duanya sekali.

Hukuman bagi kelakuan cuai yang membahayakan keselamatan atau kesihatan kakitangan adalah penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$30,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang menghalang keadilan atau bersubahat untuk berbuat demikian boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan