Skip to main content

Singapura

Lesen Mr Prata Bedok Reservoir digantung 2 minggu dek kelemahan pada keselamatan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Lesen Mr Prata Bedok Reservoir digantung 2 minggu dek kelemahan pada keselamatan makanan

(Gambar: Mr Prata)

Diterbitkan : 09 Dec 2022 06:48PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa menggantung lesen cawangan Mr Prata di Bedok Reservoir selama dua minggu disebabkan oleh kelemahan-kelemahan yang dikesan berhubung keselamatan makanan. 

Cawangan tersebut tidak dibenarkan beroperasi antara 7 hingga 20 Disember. 

Agensi Makanan Singapura (SFA) mendapati makanan diletakkan di sebelah tong sampah yang terbuka, serta "kehadiran barangan bukan makanan berdekatan dengan tempat menyiapkan makanan", menurut SFA pada Jumaat (9 Dis) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. 

Notis kebersihan makanan yang bertarikh 7 Disember di laman web SFA menyatakan Mr Prata didenda S$800 setelah mengumpul 12 mata demerit dalam tempoh setahun. Ia dikenakan enam mata demerit bagi setiap kesalahan berikut: 

- Menyiapkan makanan di tempat-tempat di mana bahan toksik diletakkan atau dibuang atau dibenar diletakkan atau diletakkan di tempat di mana makanan tersebut berkemungkinan tercemar 

- Menjual makanan yang tidak bersih atau mengandungi bahan asing daripada makanan berkenaan

Di bawah sistem mata SFA, lesen restoran yang mengumpul 12 atau lebih mata demerit sepanjang tempoh 12 bulan mungkin digantung bagi tempoh selama dua atau empat minggu, atau ditarik balik. 

"Semua pengendali makanan di premis-premis yang digantung dikehendaki menghadiri semula dan lulus Peringkat 1 Kursus Keselamatan Makanan sebelum mereka dibenarkan kembali bekerja sebagai pengendali makanan," menurut SFA. 

Pemegang lesen turut dikehendaki memastikan semua pegawai kebersihan makanan yang bekerja di premis-premis yang digantung, sekiranya ada, menghadiri dan lulus Peringkat 3 Kursus Keselamatan Makanan. 

"Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Walaupun SFA menetapkan dan menguatkuasakan langkah-langkah kawalan, kedai-kedai makan dan restoran perlu memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi amalan kebersihan dan persiapan makanan yang baik." 

Orang ramai yang ternampak mana-mana operasi makanan yang berpotensi melakukan kesalahan dinasihatkan supaya melaporkan insiden tersebut kepada SFA menerusi borang maklum balas online. 

Tambah SFA, sebagai sebahagian daripada pertanyaan dan pengumpulan bukti, ia mungkin akan menghubungi individu yang memberikan maklum balas tersebut untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. 

"SFA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kedai-kedai makan dan restoran-restoran yang tidak bertanggungjawab sekiranya kami memperolehi bukti yang mencukupi."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita