Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lesen Global Recruiters, SDI Global digantung kerana kutip yuran sebelum dapatkan pekerjaan untuk pelanggan

Anggaran Waktu Membaca:
Lesen Global Recruiters, SDI Global digantung kerana kutip yuran sebelum dapatkan pekerjaan untuk pelanggan

Gambar fail: Roslan Rahman/AFP

Diterbitkan : 01 Nov 2024 05:01PM Dikemas Kini : 01 Nov 2024 05:03PM
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (1 Nov) menggantung lesen dua agensi pengambilan pekerja yang terlibat dalam penempatan pekerja di luar negara.

Menurut MOM, pihaknya menggantung lesen Global Recruiters dan SDI Global selepas siasatan mendapati kedua-dua syarikat tersebut telah mengutip yuran pendahuluan meskipun belum mendapatkan penempatan pekerjaan di luar negara bagi pelanggan mereka.

"MOM melancarkan siasatan ke atas Global Recruiters selepas dua aduan berhubung yuran dibuat terhadap syarikat tersebut kerana mengenakan dan mengutip yuran pendahuluan daripada individu yang memohon kerja di Eropah," menurut kementerian itu.

"MOM turut menyiasat SDI Global menyusuli aduan yang dibuat terhadap syarikat tersebut, di mana ia telah mengutip yuran sebelum menempatkan pemohon kerja untuk pekerjaan di luar negara."

Di bawah Akta Agensi Pekerjaan (EAA), agensi pekerjaan tidak dibenarkan mengutip yuran sebelum pemohon kerja berjaya mendapatkan pekerjaan. Ini juga tertakluk bagi penempatan pekerja di luar negara.

Awal tahun ini, SDI Global, yang menjalani penjenamaan semula sebagai Crane HR, mendapat perhatian ramai selepas beberapa pekerja warga Bangladesh menuduh syarikat tersebut mengambil beribu-ribu dolar dalam bentuk bayaran permit kerja dan visa luar negara sekalipun mereka belum berhasil mendapatkan pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Sazzad Hossain, mendakwa "masalah yang tidak diduga" dalam usaha mendapatkan visa dan permit kerja, termasuk penangguhan janji temu dengan pihak kedutaan telah menyebabkan tempoh menunggu yang lama.

Sementara itu, agensi pengambilan pekerja, Global Recruiters pula telah dituduh mengancam pemohon kerja yang mengemukakan aduan selepas syarikat berkenaan gagal mendapatkan pekerjaan bagi pelanggannya sekalipun selepas mengutip yuran.

MOM menasihatkan para pemohon kerja supaya jangan membayar yuran kepada agensi pekerjaan sehingga mereka berjaya mendapatkan pekerjaan dengan pihak majikan.

"Had yuran agensi tidak lebih daripada dua bulan gaji juga diguna pakai bagi penempatan pekerja di luar negara," tambah MOM.

Para pemohon kerja dan orang awam yang mengesyaki sebarang kegiatan pengambilan pekerja yang mencurigakan, seperti agensi pekerjaan yang mengutip yuran sebelum penempatan pekerjaan berhasil, atau mengenakan bayaran yang berlebihan, dinasihatkan supaya melaporkan perkara tersebut kepada MOM.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan