Skip to main content

Singapura

LePark 2025 perkasa belia, buka ruang bina jaringan dan serlah bakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Belia hari ini mempunyai lebih banyak peluang untuk mengembangkan potensi diri, bukan sahaja melalui acara rasmi tetapi juga program yang lebih santai.

Inisiatif sebegini, khususnya apabila digerakkan oleh belia sendiri, dilihat sebagai usaha yang lebih berkesan untuk memperkasa generasi muda.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim ketika ditemui di acara LePark 2025, anjuran pertubuhan khidmat masyarakat MudaSG, petang tadi (23 Ogos).

Berlangsung di West Coast Lawn, acara itu memberi fokus kepada pemerkasaan belia dan menjadi wadah untuk mereka membina rangkaian serta menyerlahkan bakat masing-masing.

Dr Faishal berkata: "Kalau kita lihat hari ini, belia kita mempunyai banyak peluang dari segi kegiatan, hobi, masa yang mereka ada. Mereka boleh adakan acara santai, tidak formal sebegini tetapi tetap memberi peluang mendekati belia, apatah lagi kalau dianjurkan oleh golongan belia juga. Ini penting."

"Saya harap ia boleh membangunkan golongan belia yang bukan sahaja mendapatkan peluang-peluang yang ada tetapi menepati apa yang mereka mahukan, mengenali satu sama lain dan mempelajari daripada mereka yang lebih berpengalaman lagi-lagi dalam aspek kehidupan," tambah Dr Faishal.

PELBAGAI KEGIATAN TERMASUK SESI DIALOG UNTUK BERI INSPIRASI KEPADA GOLONGAN BELIA

Selaras dengan komitmen MudaSG untuk membina masyarakat inklusif, LePark 2025 menghimpunkan lebih 70 peserta termasuk belia dari Rumah Kebajikan Muhammadiyah dan PERTAPIS.

Ia membina kejayaan daripada edisi sulungnya tahun lalu dengan menampilkan pelbagai kegiatan seperti sukan, aktiviti seni serta sesi perkongsian.

Sesi-sesi perkongsian itu memberi tumpuan kepada topik-topik seperti keusahawanan, seni hiburan dan sukan.

Antara yang tampil berkongsi pengalaman ialah penyanyi rap, Abang Sapau dan bekas pemain bola sepak, Adam Swandi yang berkongsi tentang cabaran serta perjalanan mereka dalam bidang masing-masing.

Penyelaras projek, Insyirah Mohd Asri berkata: "Sesi dialog tahun lepas lebih kepada cara belia boleh memperbaiki diri mereka. Tahun ini, ia lebih kepada bagaimana untuk berikan mereka peluang untuk memulakan sesuatu baharu untuk mereka. Saya harap dari sesi dialog tahun ini, para belia mendapat motivasi untuk menempa nama untuk diri mereka sendiri."
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita