Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Leong Mun Wai padam beberapa tuduhan dari catatan Facebook selepas ditegur atas kelakuannya di Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sehari selepas enggan menarik balik beberapa kenyataan yang dibuat di Facebook dan ditegur atas kelakuannya di parlimen, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) memadam beberapa bahagian dari catatannya pada lewat petang Khamis (23 Mac).

Catatan Facebook tersebut, yang ditulisnya pada Isnin (20 Mac), mempersoalkan cara Pemerintah menyifatkan Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern sebagai "melarikan diri".

Ia membawa kepada satu kenyataan menteri oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Rabu (22 Mac). Encik Shanmugam berulang kali menyoal Encik Leong mengenai pemahamannya tentang pendedahan pemerintah bahawa pasangan itu sedang disiasat oleh polis kerana berbohong selepas mengangkat sumpah berhubung wasiat mantan perdana menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew.

Pada Khamis, Encik Leong berkata beliau sudah menarik balik sebahagian daripada kenyataannya itu. Ini termasuk satu baris yang menuduh Encik Shanmugam membangkit kes kecurian lalu, melibatkan pekerja pembantu rumah Indonesia, Parti Liyani, untuk mengelirukan isu tersebut.

Dalam penjelasannya, Encik Leong berkata bahawa catatan itu pada mulanya bertujuan untuk membangkitkan beberapa perkara tertentu yang berlegar dalam fikirannya selepas beliau meneliti jawapan Encik Shanmugam kepada soalan parlimen yang diajukannya pada Isnin.

Beliau juga memadam beberapa bahagian dalam catatan Facebooknya yang menyatakan bahawa Encik Shanmugam dan Menteri Kanan Teo Chee Hean mengambil risiko untuk menjadikan Parlimen "satu landasan bagi mempengaruhi pendapat umum mengenai prosiding jenayah".
Dalam catatannya pada Khamis, Encik Leong berkata beliau tidak akan memadam seluruh catatan Facebook tersebut kerana menganggap perkara lain yang dibangkitkan adalah sah dan tidak dibantah oleh para anggota Dewan.

"Maka itu, ia merupakan tindak balas yang tidak wajar untuk memadam seluruh catatan tersebut," kata Encik Leong.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan