Leong Mun Wai dilantik semula sebagai ketua PSP, pimpin parti bagi GE2025
Bekas ketua Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai dilantik semula bagi jawatan tersebut pada Rabu malam (26 Mac), dan akan memimpin partinya dalam Pilihan Raya Umum.
Dr Tan Cheng Bock dan Leong Mun Wai bersama anggota parti PSP lain selepas pilihan raya CEC pada 20 Mac 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Beliau mengambil alih jawatan setiausaha agung itu daripada Cik Hazel Poa, yang akan menyandang jawatan naib pengerusi parti.
Perubahan tampuk kepimpinan tersebut dilakukan menyusuli pilihan raya parti itu yang diadakan pada 20 Mac, di mana sekitar 100 kadre PSP mengundi 12 anggota - termasuk Encik Leong, Cik Po dan pengasas PSP Dr Tan Cheng Bock - untuk membentuk jawatankuasa eksekutif pusat baharu, yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi.
Encik Leong sebelum ini memainkan peranan sebagai setiausaha agung dari April 2023 hingga Februari 2024. Beliau melepaskan jawatan itu selepas menerima arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) bagi satu catatan media sosial.
Ini merupakan peralihan kepimpinan yang keempat sejak PSP ditubuhkan pada 2019.
Dr Tan merupakan setiausaha agung pertama parti itu. Beliau kemudian menyerahkan jawatan kepada Encik Francis Yuen pada 2021, yang selepas itu melepaskan jawatan kepada Encik Leong pada 2023.
Menyusuli peletakan jawatan Encik Leong, Cik Poa mengambil alih jawatan sehingga perubahan tampuk kepimpinan yang terbaharu ini.
Encik Leong dan Cik Poa sekarang ini merupakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP). Dalam Pilihan Raya Umum 2020, pasukan PSP meraih 48.31 peratus undi di GRC West Coast semasa bersaing dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin oleh mantan menteri pengangkutan S Iswaran. Keputusan tersebut merupakan margin paling tipis dalam pilihan raya tahun itu, membolehkan PSP memperoleh dua kerusi NCMP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.