Skip to main content

Singapura

Lengah buat keputusan, mudah rasa cemas dikaitkan dengan pendedahan awal kepada peranti digital

Kesan sampingan yang dilihat pada kanak-kanak yang terdedah kepada masa skrin yang berlebihan sewaktu bayi boleh dipulihkan menerusi langkah-langkah seperti meningkatkan interaksi sosial dan fizikal, menurut kajian baru-baru ini.
Anggaran Waktu Membaca:
Lengah buat keputusan, mudah rasa cemas dikaitkan dengan pendedahan awal kepada peranti digital

(Gambar: iStock/CG Tan)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 05 Jan 2026 11:20PM Dikemas Kini : 05 Jan 2026 11:21PM
SINGAPURA: Kesan sampingan yang dilihat pada kanak-kanak yang terdedah kepada masa skrin yang berlebihan sewaktu bayi boleh dipulihkan menerusi langkah-langkah seperti meningkatkan interaksi sosial dan fizikal, menurut kajian baru-baru ini.

Campur tangan awal dan perubahan gaya hidup positif boleh membantu melatih semula otak yang sedang berkembang, kata ahli saintis yang menerajui kajian selama 10 tahun itu, yang diterbitkan minggu lalu.

Pendedahan kepada skrin secara berlebihan sejak bayi hingga usia dua tahun dikaitkan dengan kelengahan dalam membuat keputusan dan perasaan cemas yang lebih mudah dialami apabila usia mereka meningkat.

Demikian amaran sebilangan penyelidik dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR).

Kumpulan penyelidik itu mengikuti perkembangan sekitar 170 kanak-kanak yang dilahirkan pada 2009 sepanjang tempoh lebih sedekad, sejak kelahiran mereka.

Mereka adalah sebahagian daripada kajian kohort kelahiran Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes (GUSTO), yang bertujuan memahami bagaimana keadaan semasa kehamilan dan tahun-tahun awal kanak-kanak boleh menjejas kesihatan, pertumbuhan dan perkembangan ibu dan anaknya.

Imbasan otak diambil pada pelbagai peringkat perkembangan kanak-kanak untuk mengkaji kesan jangka panjang pendedahan awal kepada skrin.

Kajian itu mendapati bagi kanak-kanak berusia sehingga dua tahun, setiap jam tambahan bagi masa skrin dikaitkan dengan kanak-kanak itu menjadi 25 peratus lebih lengah dalam membuat keputusan pada usia 8 setengah tahun.

Menjelang usia remaja mereka, kanak-kanak itu juga lebih mudah berasa cemas.

Kesan itu diperhatikan merentasi semua latar belakang sosio-ekonomi.

RASA CEMAS BOLEH TIMBUL DALAM PELBAGAI CARA

Penolong Profesor Tan Ai Peng, penyelidik utama kajian itu dan seorang pakar klinikal-saintis di NUS berkata salah satu contoh kesannya terhadap kehidupan seharian adalah mengambil masa yang lama untuk memutuskan sama ada untuk menyeberangi jalan raya apabila lampu trafik bertukar hijau.

Beliau menambah rasa cemas boleh timbul dalam pelbagai cara, termasuk rasa bimbang berlebihan, mengelakkan kegiatan sosial atau simptom fizikal seperti kadar denyutan jantung yang meningkat dan gangguan tidur.

"Semua isu yang melibatkan seseorang itu untuk membuat keputusan dan rasa cemas ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada pelbagai dimensi kehidupan individu, daripada menjejas prestasi akademik seseorang, atau apabila mereka melangkah ke alam dewasa, ia sebenarnya boleh menjejas prestasi mereka di tempat kerja," kata Penolong Profesor Tan, yang juga saintis utama di Institut bagi Pembangunan dan Potensi Manusia di A*STAR.

Beliau memberi amaran bahawa akibat daripada pendedahan skrin bahkan boleh menjadi lebih buruk bagi kanak-kanak sekarang ini, berbanding dengan mereka dalam kajian itu yang melibatkan kanak-kanak yang sebahagian besar menonton televisyen.

Ini kerana kanak-kanak semuda dua tahun mempunyai akses kepada peranti seperti telefon bimbit dan tablet, katanya.

"Itu juga sebab mengapa penyelidikan dalam masa skrin, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil, sebenarnya semakin rancak."

SEDIKIT PENYESUAIAN DAPAT MEMBANTU

Sungguhpun begitu, penyelidik menekankan masih belum terlambat untuk ibu bapa mengambil tindakan.

Penolong Profesor Tan berkata otak kanak-kanak sangat mudah menyesuaikan diri dan perubahan positif masih boleh membawa perubahan walaupun selepas diberi pendedahan awal.

Pelarasan mudah, seperti menggantikan masa skrin yang singkat dengan aktiviti interaktif, boleh membantu mengukuhkan laluan otak, tambahnya.

Aktiviti sosial dan fizikal lain yang dapat membantu termasuk membaca bersama-sama, bermain permainan secara bersemuka, bersiar-siar di luar dan melakukan kegiatan muzik dan sukan.

Penolong Profesor Tan menarik perhatian bahawa aktiviti bersama amat penting bagi kanak-kanak kecil.

"Jika kanak-kanak itu membaca seorang diri, kanak-kanak itu hanya mempelajari sesuatu bahasa. Tetapi apabila kanak-kanak itu membaca dengan ibu bapanya, ia bukan sekadar membaca perkataan pada halaman buku," katanya.

"Ia melibatkan interaksi bersama, mempelajari bagaimana untuk mengenali mimik muka dan emosi sedang mereka berinteraksi dengan ibu bapa mereka."

Jika ibu bapa mahu memperkenalkan peranti dalam kehidupan anak-anak mereka, mereka tidak harus membiarkan anak-anak itu seorang diri bersama iPad sebagai contoh, tetapi duduk bersama kanak-kanak itu dan menggunakannya sebagai peranti pendidikan, kata Penolong Profesor Tan.

Sementara ibu bapa memainkan peranan penting sewaktu bayi, interaksi bersama rakan sebaya juga bertambah penting apabila kanak-kanak itu semakin membesar, katanya.

MATLAMAT MASA DEPAN

Pada masa hadapan, pasukan penyelidik merancang untuk terus menjejaki kanak-kanak tersebut sehingga ke alam dewasa.

Mereka mahu menilai fungsi kognitif, hasil kesihatan mental seperti rasa cemas dan kemurungan, dan menjalankan imbasan otak lanjut untuk memahami mengapa sesetengah kanak-kanak menunjukkan daya tahan yang lebih tinggi berbanding yang lain.

"Pada akhirnya, tujuannya adalah untuk melihat bagaimana kanak-kanak yang bertambah baik berbeza daripada mereka yang tidak," kata Penolong Profesor Tan, sambil menambah bahawa kajian pada masa depan boleh membantu membentuk usaha campur tangan untuk kanak-kanak yang terjejas oleh pendedahan awal kepada skrin.

Penyelidik juga meluaskan tumpuan mereka melangkaui masa skrin sahaja, untuk mengkaji bagaimana ia mempengaruhi faktor gaya hidup lain seperti tidur dan aktiviti fizikal.

"Semua hasil buruk yang kita lihat pada remaja ini sebenarnya adalah gabungan masa skrin yang berlebihan, aktiviti fizikal yang rendah dan tidur yang tidak mencukupi," kata Penolong Profesor Tan.

"Kami berharap kami akan dapat mereka bentuk langkah campur tangan komprehensif yang boleh membimbing orang ramai untuk menangani ini dengan cara yang lebih menyeluruh."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita