Lembaga SingPost bertegas keputusan pecat 3 eksekutif kanan 'dipertimbangkan dengan teliti'
Lembaga Singapore Post (SingPost) pada Ahad (29 Dis) menjawab soalan daripada pihak-pihak berkepentingan mengenai keputusannya untuk memecat tiga eksekutif kanannya, yang pada masa yang sama, menegaskan bahawa keputusan itu telah "dipertimbangkan dengan teliti".
(Gambar: laman Singpost)
Dalam pemfailannya kepada Bursa Singapura (SGX), Pengerusi Lembaga SingPost Simon Israel berkata: "Pemecatab pengurusan kanan adalah keputusan yang dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak lembaga, berdasarkan fakta-fakta yang telah ditetapkan dan disokong oleh nasihat undang-undang, termasuk pendapat bebas kedua daripada peguam kanan firma guaman lain.
"Keputusan ini mencerminkan komitmen lembaga pengarah yang tidak berbelah bahagi terhadap prinsip tadbir urus, mengutamakan perkara yang betul - walaupun ia lebih mencabar dalam jangka pendek - demi kepentingan terbaik syarikat."
SingPost mengumumkan pada 22 Dis pemecatan ketua pegawai eksekutif kumpulannya Vincent Phang, ketua pegawai kewangan kumpulannya Vincent Yik dan ketua eksekutif unit perniagaan antarabangsa Li Yu atas salah pengendalian laporan pemberi maklumat.
Menyusuli berita itu, harga saham syarikat tersebut merosot hampir 11 peratus pada hari berikutnya.
Para pakar berkata pemecatan tiga eksekutif kanan secara serentak "belum pernah berlaku" bagi sesebuah firma di Singapura.
Lembaga SingPost pada Ahad (29 Dis) menerbitkan prosiding itu secara menyeluruh dan menyatakan bahawa pengumuman itu adalah untuk menangani komen dan pertanyaan daripada pihak-pihak berkepentingan mengenai pemecatan Encik Phang, Encik Yik dan Encik Li.
"Khususnya, respons kami ... memperincikan siasatan dan proses disiplin yang membawa kepada pemecatan itu, di mana usaha yang sewajarnya telah diambil dan peluang untuk diberikan kepada pihak-pihak yang terjejas," kata SingPost.
Firma itu menyatakan ia mengambil "tindakan tegas berdasarkan siasatan dalaman yang ketat" dan pelibatan penasihat luar.
Siasatan itu diselia rapi oleh jawatankuasa auditnya dan dijalankan melalui dua fasa.
FASA PERTAMA
Fasa pertama berkaitan dengan amalan dalam operasi unit perniagaan antarabangsa (Ops IBU).
Ini melibatkan memasukkan kod status kegagalan penghantaran (DF) secara manual untuk sejumlah besar bungkusan yang SingPost telah bersetuju untuk menghantar.
Ini dipalsukan bagi menunjukkan seolah-olah penghantaran telah dicuba tetapi gagal.
Dakwaan bahawa ia dilakukan untuk mengelakkan pembayaran denda tertentu kepada pelanggan.
Laporan pemberi maklumat telah dibuat, tetapi "tiada pendedahan awam" pada peringkat ini kerana dakwaan itu masih belum dibuktikan sementara menunggu siasatan, dedah SingPost.
Siasatan dalaman ini telah dijalankan oleh audit dalaman kumpulan (GIA) dan amalan itu dibuktikan.
Unit audit dalaman seterusnya menggariskan bahawa syarikat bertanggungjawab membayar denda kerana tidak memenuhi syarat tahap perkhidmatan dan bagi kemasukan data palsu.
Tetapi representasi yang dibuat oleh pihak pengurusan bercanggah dengan penemuan GIA, dan jawatankuasa audit telah menggunakan penasihat undang-undang luar dan penyedia perkhidmatan forensik untuk "membantu secara bebas dalam semakan" yang dijalankan dan memberi nasihat mengenai perkara itu.
Berikutan itu, amalan memasukkan data secara manual untuk mengelak daripada membayar pampasan kepada pelanggan telah disahkan.
"Syarikat itu kemudian memulakan prosiding disiplin terhadap tiga kakitangan daripada Ops IBU yang, semasa prosiding tersebut, diberi peluang untuk menjawab dakwaan salah laku terhadap mereka mengikut dasar disiplin syarikat," kata SingPost.
Khidmat mereka telah dibatalkan selepas berakhirnya prosiding itu.
Ketiga-tiga pengurus itu mengemukakan bukti kepada SingPost untuk mencabar pemecatan mereka, tetapi ia akhirnya ditarik balik atau tidak diteruskan.
Syarikat itu kemudian membuat aduan polis terhadap mereka.
Lembaga SingPost kemudian mengarahkan pihak pengurusan untuk mendedahkan apa yang berlaku kepada pelanggan. Penyelesaian telah dicapai – walaupun syaratnya adalah sulit.
"Pada ketika ini, siasatan syarikat telah menentukan bahawa isu itu terpencil dan terhad hanya kepada kontrak dengan pelanggan tertentu dan amalan tiga bekas kakitangan dari IBU Ops," kata SingPost.
FASA KEDUA
Syarikat itu kemudian menyiasat tingkah laku pihak pengurusan dalam mengendalikan siasatan terhadap laporan pemberi maklumat.
Mereka tidak terlibat secara langsung berhubung dakwaan yang dibangkitkan dalam laporan pemberi maklumat.
SingPost juga meneliti pembaharuan perjanjian pelanggan yang terjejas pada 2023.
"Isu utama di sini tertumpu kepada jangkaan tadbir urus dan tingkah laku yang sewajarnya oleh pihak pengurusan. Firma guaman luar yang sama turut terlibat untuk mengkaji semula tingkah laku pengurusan dalam perkara itu," menurut SingPost.
Berdasarkan siasatan itu, SingPost mendapati bahawa walaupun Encik Phang, Encik Yik dan Encik Li telah diberikan laporan dan hasil siasatannya, serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh GIA, mereka membuat "representasi salah yang serius" mengenai dakwaan itu.
Ini walaupun terdapat "bukti-bukti jelas" yang menyokong dakwaan itu.
Pernyataan palsu itu termasuk "tiada bukti berlaku manipulasi data dan salah laku" berhubung kemasukan data manual.
Mereka juga mendakwa tiada bukti berlaku pemalsuan untuk mengelak daripada membayar denda dan pampasan, dan entri data manual bukan untuk mengelakkan bayaran tersebut.
Menurut SingPost, ketiga-tiga eksekutif kanan menegaskan bahawa amalan memasukkan data secara manual "tidak akan mencetuskan sebarang liabiliti" dan ia diminta oleh pelanggan.
Turut didakwa bahawa pelanggan "sedia maklum sepenuhnya" tentang andaian kemasukan data manual dan bahawa amalan sedemikian adalah selaras dengan amalan industri.
"Penyataan salah ini, dibuat lebih tiga kali dari 11 Mac hingga 3 Apr dan bercanggah dengan penemuan dalam laporan GIA dan tanpa sebarang bukti atau bukti bebas," kata syarikat itu, sambil menambah bahawa ketiga-tiga eksekutif kanan itu dijangka melindungi kepentingan syarikat pada setiap masa
Sungguhpun demikian, daripada menangani hasil siasatan itu, mereka bergantung kepada salah nyata yang dibuat oleh para wakil daripada IBU Ops, yang merupakan pihak berkepentingan.
LANGKAH SETERUSNYA
SingPost sebelum ini menyatakan bahawa ia merancang untuk Encik Isaac Mah, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) perniagaannya di Australia – Freight Management Holdings – untuk kembali ke Singapura bagi memegang jawatan CFO kumpulan.
Awal Disember lalu, SingPost mendedahkan bahawa ia menjual FMH kepada firma ekuiti privet dengan pertimbangan tunai A$775.9 juta (AS$504.1 juta).
"Encik Mah, seorang akauntan bertauliah, telah dikenal pasti dalam pelan penggantian SingPost sebagai calon kepimpinan berpotensi tinggi dan telah berada di laluan pembangunan dalam kumpulan," kata SingPost.
SingPost menyatakan ia akan mengumumkan pelantikan CEO kumpulan baharu dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.