Lembaga Penggalakan Kesihatan dapat pengerusi baharu pada 1 April
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan mendapat pengerusi baharu pada 1 April, dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sembcorp Industries, Wong Kim Yin.
Encik Wong Kim Yin (kiri) dilantik sebagai pengerusi HPB, menggantikan Encik Philip Lee.
Encik Wong akan menggantikan Encik Philip Lee, yang akan bersara pada 31 Mac, demikian menurut HPB dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (25 Mac).
Encik Wong merupakan anggota lembaga HPB sejak Oktober 2023.
Beliau juga adalah naib pengerusi rangkaian World Energy Council di Asia dan sebelum ini adalah pengerusi SkillsFuture Singapore.
Badan-badan perlembagaan lain yang pernah beliau berkhidmat adalah Yayasan Kajian Kebangsaan, Makmal Kebangsaan DSO dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS).
"Sebagai pengerusi HPB, Encik Wong akan menyediakan kepimpinan cekap kepada lembaga dan pengurusannya sedang pertubuhan ini memajukan usaha penggalakan kesihatan, sejajar dengan inisiatif kebangsaan Healthier SG," menurut MOH dan HPB.
"Beliau juga akan memainkan peranan penting dalam membentuk strategi HPB dalam pencegahan penyakit, mengukuhkan ekosistem sihat bersama dengan kelompok jagaan kesihatan dan agensi-agensi pemerintah yang lain, dan menyediakan inisiatif kesihatan berkesan dipacu oleh keupayaan kesihatan awam yang tepat."
Penggal Encik Wong sebagai pengerusi HPB akan bermula pada 1 April 2024 hingga 31 Mac 2027.
Encik Lee, pengerusi HPB yang akan bersara, memainkan "peranan penting" dalam kemajuan agensi itu dari pelbagai bidang, menurut HPB dan MOH.
Selepas beliau dilantik sebagai pengerusi pada April 2017, beliau memantau usaha HPB dalam kempen membanteras penyakit kencing manis dan peluasan pilihan gaya hidup sihat di Singapura, termasuk pelancaran keperluan Nutri-Grade.
HPB juga mempertingkatkan aplikasi mudah alih Healthy 365, yang menyokong mereka dalam mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan mewujudkan inisiatif seperti Cabaran Masyarakat National Steps Challenge.
"Di bawah kepimpinan Encik Lee, HPB memainkan peranan lebih penting di bawah Healthier SG.
Bagi menyokong perubahan sektor jagaan kesihatan, HPB mempertingkatkan inisiatif pencegahan kesihatan dan kerjasama, meluaskan lagi ekosistem sosial dan kesihatan bagi membolehkan lebih banyak akses mudah ke program-program gaya hidup lebih sihat dalam kalangan penduduk," menurut MOH dan HPB.
Semasa pandemik COVID-19, Encik Lee juga bantu agensi itu mengatasi beberapa cabaran.
"Berkat sokongannya, HPB meneruskan dengan mandat pencegahan kesihatan bagi menyokong kesihatan dan kesejahteraan warga Singapura, di samping melaksanakan tugas berkaitan pandemik untuk melindungi kesihatan awam, termasuk kuarantin, ujian dan operasi vaksinasi," menurut MOH dan HPB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.