Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki yang tahan, acu pisau pada leher wanita di Yishun Ring Road, dikenali polis

Seorang lelaki berusia 42 tahun yang menahan dan mengacu pisau terhadap seorang wanita di Yishun Ring Road pagi tadi (9 Jan), mengheret wanita itu sejauh 50 meter dan dikenali oleh pegawai polis di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 42 tahun yang menahan dan mengacu pisau terhadap seorang wanita di Yishun Ring Road pagi tadi (9 Jan), mengheret wanita itu sejauh 50 meter dan dikenali oleh pegawai polis di kawasan itu.

Namun dia tidak dikehendaki pihak berkuasa.

Butiran kejadian itu didedahkan semasa satu sidang media di Divisyen Polis Woodlands pada lewat petang Isnin.

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Selasa (10 Jan) atas kesalahan memiliki senjata serangan di tempat awam. Pegawai polis yang kerap meronda di kawasan itu mengenali lelaki tersebut dan pernah berinteraksi dengannya, tambah seorang jurucakap polis di sidang media itu.

Siasatan awal oleh Biro Narkotik Pusat mendapati   air kencing lelaki itu diuji positif bagi dadah terkawal.

Mangsa, seorang penduduk Yishun berusia 60 tahun, mengalami kesan melecet pada bahagian kanan dagunya. Beliau bagaimanapun enggan dibawa ke hospital.

Polis menyatakan mereka menerima panggilan meminta bantuan berhubung kejadian itu di mana seorang lelaki mengacukan pisau terhadap mangsa di kawasan Blok 108 Yishun Ring Road. Lelaki itu mendekati mangsa ketika beliau berada di blok itu.

"Para pegawai yang menjawab panggilan bantuan itu melihat lelaki tersebut menahan wanita berkenaan sambil mengacukan pisau pada leher wanita itu," menurut polis, yang tidak mendedahkan nama kedua-dua individu tersebut.

Lelaki dan wanita itu kemudian bergerak ke arah sebuah kedai kopi di Blok 110 Yishun Ring Road.

Polis menyatakan berdasarkan siasatan awal, kedua-duanya tidak mengenali satu sama lain dan lelaki itu tidak membuat sebarang ancaman atau tuntutan apabila polis tiba di tempat kejadian.

Para pegawai Pasukan Tindak Balas dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan dari Divisyen Polis Woodlands dikerahkan ke tempat kejadian.

"Selepas interaksi awal di mana lelaki itu tetap menahan wanita tersebut sambil mengacukan pisau terhadapnya, para pegawai polis berjaya merampas senjata dari lelaki itu lalu menahannya, sekali gus menyelamatkan wanita berkenaan," menurut polis.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki sedang mengacukan objek pada leher seorang wanita di luar sebuah kedai kopi, sementara sekurang-kurangnya empat pegawai polis cuba memujuknya.

Dalam satu lagi video, sekurang-kurangnya lapan pegawai polis kelihatan menahan lelaki itu, sambil dibantu seorang individu awam.

Sebilah pisau dirampas dengan bilahnya berukuran 8 sentimeter dan bahagian pemegang sepanjang 10 sentimeter. 

Siasatan awal mendapati kesan darah pada pisau itu bukanlah darah manusia.

Polis akan meminta lelaki itu direman di Institut Kesihatan Mental untuk menjalani pemeriksaan psikiatrik selepas dia didakwa pada Selasa.

Jika sabit kesalahan memiliki senjata serangan di tempat awam, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan disebat sekurang-kurangnya enam kali. Kesalahan itu tertakluk di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Dan Senjata Serangan.

Penolong Pesuruhjaya Polis Ang Eng Seng, yang juga Komander Divisyen Polis Woodlands berkata: "Tertuduh dalam kejadian ini menimbulkan bahaya kepada orang awam dan secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang.

"Pegawai polis dari Divisyen Woodlands bertindak pantas dan aksi mereka membuahkan hasil yang pantas dan tegas. Lelaki itu ditahan bagi mengelakkan sebarang bahaya lanjut."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan