Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki yang bayar S$6,000 bagi rekod vaksin palsu rayu singkatkan hukuman penjara

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki yang bayar S$6,000 bagi rekod vaksin palsu rayu singkatkan hukuman penjara

Pintu masuk Mahkamah Agung di Singapura. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Aug 2023 07:32PM Dikemas Kini : 04 Aug 2023 07:34PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang membayar S$6,000 untuk memalsukan rekod vaksinasinya bersama isterinya merayu pada Jumaat (4 Ogos) agar hukuman penjara 16 minggu yang dijatuhkan ke atasnya dikurangkan separuh.

David Christopher Newton, seorang warga Australia berusia 44 tahun, sudah menjalani hukumannya dan meninggalkan Singapura, tetapi membuat rayuan melalui peguamnya, Paul Loy dari WongPartnership, di Mahkamah Tinggi dan di hadapan Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon.

Encik Low berkata bahawa beliau diarahkan membuat rayuan itu kerana anak guamnya "berasa bahawa dia tidak terima perbicaraan yang adil", merujuk kepada prosiding di makhamah.

Newton dihukum penjara 16 minggu oleh Makhamah Negara pada April. Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dalam konspirasi jenayah bersama Dr Jipson Quah dan pembantunya Thomas Chua untuk menipu Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bahawa dia sudah menerima vaksin lengkap COVID-19, walaupun pada hakikatnya dia tidak menerimanya.

Satu lagi tuduhan yang melibatkan isterinya juga dipertimbangkan.

Sehingga kini, Newton merupakan satu-satunya pesakit Quah yang didakwa, namun pihak pendakwa mengatakan kepada Makhamah Tinggi pada Jumaat bahawa mereka ingin mendakwa pesakit-pesakit yang lain, tertakluk kepada perkembangan dalam siasatan atau bukti yang dikemukakan.

Timbalan Pendakwa Raya Jiang Ke-Yue berkata rancangan itu adalah untuk menangani pelaku utama kes itu, tetapi timbul kelengahan. Kes Newton agak mendesak kerana dia satu-satunya pesakit yang memohon untuk meninggalkan Singapura.

Kes Quah dan Chua masih belum selesai.

INGIN PULANG

Menurut rekod Pendaftaran Imunisasi Kebangsaan Singapura, Newton dan isterinya menerima suntikan Sinopharm COVID-19, walaupun ia hanya mengandungi air garam. Isteri Newton bagaimanapun tidak menyedari muslihat itu.

Quah dikaitkan dengan kumpulan antivaksinasi Healing the Divide, manakala Chua bekerja sebagai penyelia logistiknya.

Newton menyertai kumpulan Healing the Divide di Telegram sekitar Disember 2021, dan mendapatkan nombor telefon Chua dari sana.

Dia memberitahu Chua dia mempunyai tawaran kerja di Australia, tetapi dia akan berdepan kesulitan untuk memasuki negara itu kerana dia tidak divaksin. Dia bertanya sama ada dia boleh mendapatkan pengesahan sudah divaksin, tanpa mengambil suntikan itu. Dia juga mahu isterinya disahkan sebagai tidak layak dari segi perubatan untuk menerima sebarang vaksin COVID-19.

Chua berkata dia akan berunding dengan Quah, dan kemudian mengatur agar pasangan itu mendapatkan vaksin palsu di Klinik Perubatan Mayfair di Yishun pada harga S$6,000.

Newton bersetuju, dan pasangan itu menerima suntikan air garam selama dua hari - 29 Disember 2021 dan 15 Januari 2022. Isteri Newton menyangka dia sudah menerima vaksin Sinopharm.

Menurut siasatan, Newton merupakan satu di antara 17 pesakit yang menerima suntikan air garam daripada Quah.

"KELIHATAN BERAT SEBELAH"

Dalam perbicaraan melalui Zoom mengenai rayuan itu, yang tidak dihadiri Newton, peguamnya Encik Loy meminta hukuman penjara itu disingkatkan kepada lapan minggu.

Encik Loy berhujah bahawa hakim daerah yang menjatuhkan hukuman ke atas Newton di mahkamah rendah "kelihatan berat sebelah", dari cara perbicaraan dijalankan, hujah yang disediakan lebih awal dan kandungan hujah yang disampaikan.

"Saya berpendapat bahawa hakim kelihatan berfikiran tertutup dan daripada hakikat bahawa keputusan beliau sebahagian besarnya menyerupai hujah bertulis pihak pendakwa, beliau ternyata berfikiran tertutup, dan kesannya adalah, hakim daerah pada dasarnya menerima hujah-hujah pihak pendakwa," kata Encik Loy.

Hakim daerah menerima hujah pihak pendakwa secara keseluruhan dan menolak mitigasi yang dikemukakan oleh pihak pembela secara keseluruhannya, memberikan hukuman yang diminta oleh pihak pendakwa, kata Encik Loy.

Ketua Hakim Negara Menon menolak hujah tersebut. Beliau berkata bahawa hanya kerana hakim sudah melihat hujah bertulis dan membentuk satu pendangan sebelum perbicaraan tidak bermakna beliau berat sebelah.

Persoalannya adalah sama ada hakim sudah mempertimbangkannya dengan baik.

"Bila saya membaca nota bukti dan apa yang berlaku pada perbicaraan, ia jelas kepada saya bahawa hakim daerah telah menghadam sepenuhnya bahan itu," tambah Ketua Hakim Negara.

"Ada sesuatu yang perlu diperkatakan tentang hakim yang datang ke perbicaraan dengan bersedia, sudah membaca dan mamahami bahan disediakan dan membentuk pandangan sementara."

Beliau berkata ia bukan sesuatu amalan luar biasa di mahkamah dan tidak bermakna hakim itu mempunyai fikiran yang tertutup.

Ketua Hakim Negara juga menegaskan bahawa hakim sudah menyusun semula bahagian yang diambi daripada pihak pendakwa, untuk menyatakan pendiriannya.

Ketua Hakim Negara Menon akan memberikan penghakimannya pada hari lain.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan