Skip to main content

Singapura

Lelaki warga SG didakwa seludup 40kg dadah ke Australia

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga SG didakwa seludup 40kg dadah ke Australia

(Gambar: Australian Federal Police)

Diterbitkan : 25 Feb 2025 09:19PM Dikemas Kini : 25 Feb 2025 09:21PM
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura pada Selasa (25 Feb) didakwa dengan tuduhan mengimport 40kg dadah ke Australia dalam penerbangan antarabangsa.

Shanmugam Sundar Darmaraju berdepan dua tuduhan mengimport dadah terkawal. Dia dihadapkan ke Mahkamah Downing Center pada Selasa dan ditolak ikat jamin.

Lelaki berusia 55 tahun itu diperiksa oleh para pegawai Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF) ketika dia tiba di Sydney dalam penerbangan dari Malaysia pada 20 Feb.

"Lelaki itu mendakwa dia tidak membawa sebarang bagasi yang didaftarkan dan pada mulanya dibenarkan berlepas dari Lapangan Terbang Sydney," kata ABF dan Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam satu kenyataan bersama.

Para pegawai ABF kemudian menemui dua beg pakaian terbiar di atas karusel bagasi, yang dipercayai mempunyai tanda pengenalan dengan nama lelaki itu.

Beg pakaian itu mengandungi kira-kira 32kg methamphetamine dan 8kg kokain. Dadah itu dirampas oleh polis dan para pegawai kemudian memulakan pencarian untuk mengesan penumpang tersebut.

Shanmugam dalam perjalanan dari Sydney ke Adelaide, di mana dia dibekas di lapangan terbang pada 21 Feb ketika cuba menaiki penerbangan ke Malaysia.

Dia pada mulanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Adelaide pada Isnin sebelum dia diekstradisi ke New South Wales untuk menghadapi tuduhan terhadapnya.

Dadah methamphetamine yang dirampas itu dianggarkan bernilai A$29.6 juta (S$25 juta), manakala kokain dianggarkan bernilai A$2.6 juta (S$2.2 juta).

Kesalahan-kesalahan itu membawa hukuman penjara seumur hidup.

Detektif AFP Pemangku Superintendan Stuart Millen berkata AFP bekerja rapat dengan ABF dan rakan penguat kuasa undang-undang yang lain untuk menghalang penjenayah daripada mengeksploitasi perjalanan udara untuk mengedar dadah.

“Dadah terlarang menghancurkan kehidupan dan gejala dadah kekal sebagai musuh nombor satu masyarakat,” tambahnya.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita