Lelaki warga M'sia disahkan kes tempatan pertama cacar monyet di S'pura
Pesakit itu adalah seorang lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di Singapura.
Gambar fail kesan cacar monyet di tangan. (Gambar: iStock)
Pesakit itu adalah seorang lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di Singapura. Menurut MOH, lelaki berkenaan diuji positif terjangkit cacar monyet pada Rabu (6 Jul).
"Dia kini dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya stabil," menurut MOH dalam kenyataan medianya pada Rabu.
Lelaki itu tidak ada kaitan dengan kes import yang diumumkan MOH pada 21 Jun, dedah kenyataan tersebut.
Lelaki itu pertama kali mengalami luka pada kulit di bahagian bawah perut dan kemudian mengalami keletihan dan kelenjar yang bengkak pada 2 Jul.
Dia kemudian mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Jul dan mendapatkan rawatan perubatan di mana ujian awal untuk keadaan perubatan lain turut dilakukan.
"Apabila ujian-ujian ini menunjukkan hasil negatif, dia kemudian dibawa ke NCID pada 6 Jul, di mana dia diasingkan bagi penilaian lanjut," menurut MOH.
Setakat sehingga Rabu, tiga kontak rapat - dua rakan serumah dan seorang kontak sosial - sudahpun dikenal pasti.
Semua kontak rapat akan dikuarantin selama 21 hari dari kontak terakhir mereka dengan kes tersebut. Pengesanan kontak juga sedang dijalankan, jelas MOH.
Cacar monyet adalah penyakit virus yang disebabkan oleh jangkitan dengan virus cacar monyet. Ia biasanya adalah penyakit yang dapat pulih dalam masa dua hingga empat minggu.
"Peratusan kecil mereka yang terjangkit boleh jatuh sakit teruk atau mati. Mereka yang khususnya terdedah kepada komplikasi adalah kanak-kanak, wanita hamil atau individu dengan sistem imun yang mudah terjejas dengan gejala penyakit.
Ia menambah bahawa risiko kepada masyarakat umum kekal rendah memandangkan penularannya memerlukan kontak fizikal rapat atau berpanjangan.
MOH menyatakan pihaknya akan terus memantau keadaan cacar monyet dengan teliti dan mengukur tahap kesediaan dan langkah-langkah respons mengikut keperluan.
"Orang ramai digalakkan supaya mengamalkan tanggungjawab peribadi dengan memantau kesihatan diri dan mengekalkan kebersihan, terutama sekali semasa melakukan perjalanan ke luar negara," menurut MOH.
"Mereka juga harus mengelak kontak rapat dan individu-individu lain yang diketahui atau disyaki dijangkiti cacar monyet."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.