Skip to main content

Singapura

Lelaki warga Indonesia dihukum penjara & dirotan kerana berenang ke SG meski dihantar pulang ke Batam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meskipun dihantar pulang ke Batam, Indonesia atas kesalahan imigresen, seorang lelaki mengupah seorang pengemudi sampan sebanyak 6 juta rupiah (S$513) untuk menaiki sampannya dan melompat separuh jalan untuk berenang ke Singapura.

Yusoff Ishak, warga Indonesia berusia 37 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan dan lima sebatan rotan pada Khamis (29 Feb).

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Imigresen kerana memasuki Singapura tanpa pas yang sah, dengan satu lagi tuduhan masuk semula Singapura secara haram turut diambil kira.

Mahkamah diberitahu bahawa Yusoff dijatuhi hukuman penjara selama 10 minggu, empat sebatan rotan dan didenda S$1,000 pada Januari 2022 kerana memasuki Singapura secara haram dan bagi kesalahan berkaitan imigresen.

Selepas menjalani hukuman penjaranya, dia dihantar pulang ke Indonesia melalui feri pada lewat Januari 2022.

Pada Disember 2023, semasa di Batam, Yusoff memutuskan untuk memasuki Singapura secara haram untuk mendapatkan pekerjaan, meskipun dia tahu bahawa dia tidak boleh berbuat demikian tanpa kebenaran bertulis.

Dia mengupah seorang pengendali sampan sebanyak 6 juta rupiah untuk menaiki sampannya. Semasa dalam perjalanan ke Singapura, dia melompat dari sampan tersebut dan berenang ke pantai di Changi.

Mahkamah diberitahu bahawa Yusoff telah dihukum penjara dan dirotan atas kesalahan imigresen yang sama pada Disember 2016, yang bermakna ini adalah sabitan ketiganya kerana memasuki Singapura secara haram.

Hakim menyifatkan Yusoff sebagai pesalah yang degil.

Yusoff adalah salah seorang daripada tiga lelaki warga Indonesia yang dijatuhi hukuman penjara dan sebatan rotan pada Khamis kerana memasuki Singapura secara haram - kesemuanya disifatkan sebagai pesalah degil oleh hakim.

Seorang lagi lelaki, La Haji, 31 tahun, dijatuhi hukuman penjara satu tahun lima bulan dan lima sebatan. Dia memasuki Singapura dengan berenang menggunakan beg sampah hitam sebagai pelampung.

Lelaki ketiga, Cimun, 25 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan enam sebatan rotan. Dia menaiki sebuah bot laju dari Batam sebelum berpindah ke tongkang lalu berenang menuju Changi.

Bagi kesalahan memasuki Singapura secara haram tanpa pas yang sah, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan dikenakan sekurang-kurangnya tiga sebatan rotan.

Jika pesalah tidak boleh dirotan, dia sebaliknya boleh dikenakan denda sehingga S$6,000.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita