Lelaki warga Australia dihukum penjara; mangsa 73 tahun maut terkena botol wain

Google Street View 18 Spottiswoode Park Road.
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Australia yang membuang botol wain ke arah sekumpulan individu dari dua tingkat di atas mereka lalu terkena dan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 73 tahun dihukum penjara selama lima tahun dan enam bulan pada Jumaat (8 Apr).
Andrew Gosling, 49 tahun, memberitahu polis bahawa dia mahu sekumpulan individu daripada masyarakat Melayu/Islam itu berasa terkejut. Dia mengaku bersalah pada Februari atas dua tuduhan menyebabkan kematian dan kecederaan parah akibat tindakan yang terburu-buru.
Ketua Hakim Daerah Victor Yeo berkata tindakan Gosling boleh dianggap sebagai menunjukkan "permusuhan agama" terhadap kumpulan tersebut dan Gosling mesti dikenakan hukuman yang tegas.
"HANYA MASA AKAN MENGUBATI KEPERITAN INI": ANAK LELAKI MANGSA
"Singapura berpegang teguh kepada usaha memelihara dan memupuk keharmonian berbilang kaum di sini dan ia boleh memberi kesan yang lebih meluas sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Islam," tegas hakim.
Maka itu, hukuman yang dijatuhkan mestilah berupaya untuk menghilangkan rasa tidak senang dan gelisah yang boleh berpunca daripada kesalahan itu, katanya lagi.
Hakim juga menarik perhatian kepada kesan kewangan dan emosi terhadap isteri mangsa akibat tindakan Gosling untuk menilai kemudaratan sampingan yang disebabkan oleh kesalahan tersebut.
Wanita berusia 69 tahun itu turut mengalami kecederaan apabila botol itu terkena bahunya. Beliau sudah mendirikan rumah tangga dengan mangsa selama 45 tahun dan dikurniakan empat orang anak.
Malangnya, wanita itu kini tinggal bersendirian tanpa suami di sisinya.
Sebelum kematiannya, mangsa bekerja sebagai pemandu van di sebuah syarikat penghantaran dan akan memberi isterinya S$600 untuk perbelanjaan bulanannya.
Pada perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu pemergian mangsa adalah satu kehilangan besar bagi isterinya dan ketiadaan suaminya semakin terasa dan lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan semasa pertemuan keluarga dan majlis-majlis keramaian.
Beliau juga kerap teringat semula kejadian itu, kata hakim.
Keluarga mangsa hadir pada perbicaraan di Mahkamah Negara pada Jumaat (8 Apr).
Selepas hukuman dijatuhkan, isteri mangsa memberitahu para wartawan bahawa beliau tidak mahu mengulas tentang hukuman tersebut setakat berkata "sudah ditakdirkan".
Anak lelaki mangsa memberitahu para wartawan: "Memang sukar untuk memaafkan, hanya masa yang akan mengubatinya."
Atas kesalahan menyebabkan kematian akibat tindakan terburu-buru, Gosling boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah melalui tindakan terburu-buru, Gosling boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.