Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki, wanita disiasat polis; maki hamun penjawat awam, langgar langkah COVID-19

Seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang wanita berumur 46 tahun disiasat oleh polis kerana didakwa mendera secara lisan kakitangan awam dalam dua insiden berasingan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki, wanita disiasat polis; maki hamun penjawat awam, langgar langkah COVID-19

Pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat boleh dikenal pasti melalui pas-pas ini. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Diterbitkan : 20 Oct 2021 08:03AM Dikemas Kini : 20 Oct 2021 08:05AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang wanita berumur 46 tahun disiasat oleh polis kerana didakwa mendera secara lisan kakitangan awam dalam dua insiden berasingan.

Polis menyatakan dalam satu kenyatanan pada Selasa (19 Okt) bahawa insiden pertama melibatkan wanita itu berlaku pada 21 Ogos lalu. Polis menerima aduan tentang peminuman arak di tempat awam selepas jam 10.30 malam iaitu waktu yang dibenarkan.

Apabila polis tiba, para pegawai melihat wanita itu bergaul dengan tiga lelaki di sebuah penghubung taman berdekatan Pandan Gardens dan kesemua empat individu itu tidak memakai pelitup.

Polis kemudian meminta mereka memakai pelitup dan tiga lelaki tersebut menurut nasihat namun wanita berkenaan enggan berbuat demikian.

“Walaupun dinasihati berulang kali oleh para pegawai, dia enggan mematuhinya dan didakwa menghamburkan kata-kata kesat terhadap mereka," menurut polis.

“Wanita itu kemudian ditangkap atas kesalahan berkelakuan liar dan menggunakan kata-kata kesat terhadap penjawat awam."

Polis menyatakan wanita itu juga sedang membantu siasatan berhubung pelanggaran langkah jarak selamat.

Insiden kedua berlaku pada 29 Ogos lalu apabila polis menerima panggilan meminta bantuan daripada seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Pegawai itu memberitahu polis seorang lelaki berusia 32 tahun duduk di bangku yang ditandakan pangkah di pusat penjaja Boon Lay Place Food Village dan beliau menasihati lelaki itu untuk bangun dari tempat duduk tersebut.

“Dari mematuhi nasihat, lelaki itu sebaliknya didakwa mencabar kuasa pegawai penguat kuasa jarak selamat itu untuk menguatkuasakan langkah jarak selamat dan memaki hamun pegawai penguat kuasa tersebut," menurut polis.

Lelaki berkenaan dikenakan notis komposisi kerana tidak mematuhi langkah jarak selamat, menurut polis. Dia kini membantu siasatan kerana didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang kakitangan awam.

Kesalahan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam atau pekerja perkhidmatan awam boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan dengan denda sehingga S$5,000, hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan di bawah Peraturan (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020, seperti langkah jarak selamat, boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi pesalah kali pertama, kesalahan berkelakuan liar boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Lain (Keamanan dan Gangguan Awam) dengan denda sehingga S$2,000, hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Jika didapati bersalah buat kali kedua dan seterusnya, pelaku boleh dikenakan denda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Polis memandang serius terhadap tingkah laku kasar terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas mereka dan tingkah laku tidak bertanggungjawab berkaitan dengan pelanggaran langkah jarak selamat," menurut polis.

“Pesalah akan ditangani mengikut undang-undang." 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan