Lelaki tular dalam video minimart didakwa atas kesalahan tidak pakai pelitup, guris perasaan kaum lain
Seorang lelaki, yang dirakam dalam sebuah video yang menunjukkannya melemparkan kata-kata kesat serta berbaur perkauman terhadap penyelia sebuah kedai runcit, didakwa pada Rabu (22 Apr) atas beberapa kesalahan.

Petikan gambar daripada video yang tular di media sosial.
SINGAPURA: Seorang lelaki, yang dirakam dalam sebuah video yang menunjukkannya melemparkan kata-kata kesat serta berbaur perkauman terhadap penyelia sebuah kedai runcit, didakwa pada Rabu (22 Apr) atas beberapa kesalahan.
Lelaki itu bertindak demikan kerana tidak dibenarkan memasuki kedai tersebut setelah didapati tidak memakai pelitup.
Mohamed Ali Ramly, 52 tahun, dituduh melanggar perintah kawalan tanpa alasan munasabah dengan tidak memakai pelitup apabila keluar rumah.
Menurut kertas pertuduhan, dia pergi ke kedai runcit Li Li Cheng Minimart di Blok 651 Jurong West Street 61 pada sekitar jam 6.00 petang, 17 April lalu.
Semasa di sana, Ali didakwa memaki seorang individu bernama Wang Jian.
Dia juga dituduh dengan sengaja melemparkan kata-kata berbaur perkauman terhadap Wang Jian dengan berkata bahawa virus korona COVID-19 "berpunca daripada orang Cina."
Berdasarkan kenyataan polis minggu lalu, Ali mengunjungi kedai runcit itu untuk membeli sepaket susu kacang soya tetapi tidak dibenarkan masuk kedai oleh penyelia kedai tersebut kerana dia tidak memakai pelitup.
Polis menyatakan ia "memandang serius terhadap sebarang perbuatan yang boleh mengancam keharmonian kaum di Singapura".
"Sesiapa yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan rasa kurang baik dan permusuhan antara pelbagai kaum di sini akan ditangani dengan pantas dan tegas."
Atas kesalahan memaki Wang Jian, Ali boleh dikenakan denda hingga S$5,000, hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan mengeluarkan kata-kata dengan niat yang sengaja untuk mencetuskan perkauman, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya.
Dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda S$10,000 atau kedua-duanya sekali kerana tidak memakai pelitup dengan betul ketika berada di luar rumah.
Ali akan dihadapkan ke mahkamah bagi sidang praperbicaraan bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.