Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki tipu WDA lebih S$72,000 dihukum penjara

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki tipu WDA  lebih S$72,000 dihukum penjara

Gambar hiasan. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang pelatih dihukum penjara 20 minggu pada Jumaat (8 April) kerana memalsukan rekod kursus untuk menipu Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) lebih S$72,000 dalam bentuk geran latihan.

Marsh Terranova Tiruchellam, 54 tahun, disabitkan kesalahan atas tiga tuduhan pada 17 Disember tahun lalu kerana memalsukan rekod kehadiran untuk memperdaya WDA bahawa dia sudah mengadakan kursus, menurut SkillsFuture Singapore (SSG) dalam satu kenyataan media.

Tiga lagi tuduhan serupa diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Marsh merupakan pelatih di Loyal Reliance, sebuah syarikat latihan yang dilantik Yoke Mah Plasterceil untuk menganjurkan kursus bagi pekerjanya.

Antara Julai 2014 dengan November 2014, dia memalsukan enam rekod kehadiran yang menunjukkan pekerja Yoke Mah Plasterceil sudah mengikuti kursus latihan kendaliannya, walhal tidak ada latihan yang dijalankan.

Marsh adalah individu terakhir antara lima orang yang dijatuhkan hukuman berkaitan kes tersebut, menurut SSG. Empat yang lain dipenjara antara 11 minggu dengan 29 bulan, tambah SSG.

Agensi itu menyatakan pihaknya "memandang serius mana-mana individu atau pertubuhan yang menipu atau menyalahgunakan pembiayaan SSG".

"Tindakan mereka menjejaskan penyedia latihan lain yang menyediakan khidmat pendidikan orang dewasa yang bermutu tinggi dengan betul," menurut SSG, sambil menambah ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan terma dan syarat agensi tersebut.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan