Skip to main content

Singapura

Lelaki tipu tentang sejarah hubungan seks sebelum derma darah dijangkiti HIV

Seorang lelaki yang tidak tahu bahawa dia positif-HIV menderma darah yang dijangkiti virus itu dan berbohong dalam borang pendermaan tentang sejarah seksualnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki tipu tentang sejarah hubungan seks sebelum derma darah dijangkiti HIV

(Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 05 Oct 2019 03:26PM Dikemas Kini : 05 Oct 2019 03:28PM

SINGAPURA - Seorang lelaki yang tidak tahu bahawa dia positif-HIV menderma darah yang dijangkiti virus itu dan berbohong dalam borang pendermaan tentang sejarah seksualnya.

Kerana membuat perisytiharan palsu di bawah Akta Penyakit-Penyakit Berjangkit, lelaki berusia 35 tahun itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan didenda S$10,000 pada Rabu (2 Okt).

Nama lelaki yang bertugas sebagai juruukur bahan itu bagaimanapun tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

Dia telah menderma darah sebanyak lima kali tanpa sebarang isu, namun pada kali keenam dia menderma, darahnya didapati dijangkiti HIV.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu telah menderma darah di satu kempen Penguasa Sains Kesihatan (HSA) di Dewan Jing Si Yayasan Tzu Chi di 9 Elias Road untuk menderma darah kepada Bloodbank@HSA pada 30 Sep, 2017.

Sebelum menderma darah, dia dikehendaki mengisi borang penilaian kesihatan penderma.

Salah satu soalan itu berbunyi: "Penderma lelaki: Pernahkah anda melakukan hubungan seksual dengan lelaki lain?"

Satu lagi soalan pula bertanya sama ada dia telah melakukan kegiatan seksual dengan seseorang yang dia kenali selama kurang daripada enam bulan, dalam tempoh setahun yang lalu.

Lelaki itu menjawab "tidak" sebagai respons kepada kedua-dua soalan dan mengisytiharkan bahawa jawapannya adalah benar.

Selepas mengisi borang soalan tersebut, seorang pemeriksa perubatan menemu bual lelaki itu dan memberitahunya bahawa dia boleh didakwa atas kesalahan jika dia memberikan jawapan yang palsu atau bersifat memperdaya.

Apabila darahnya dikesan dijangkiti HIV, dia ditemu bual untuk mengenal pasti sama ada dia terdedah kepada sebarang risiko HIV.

MENDAKWA TIDAK PERNAH LAKUKAN HUBUNGAN SEKS

"Semasa ditemu bual, lelaki itu mendakwa tidak pernah melakukan hubungan kelamin sebelum ini dan menekankan bahawa dia tidak terdedah kepada sebarang kegiatan yang menimbulkan risiko," kata Encik Jason Lee, pengarah pembantu guaman di Kementerian Kesihatan (MOH).

Sungguhpun demikian, lelaki itu kemudian mengaku kepada seorang pegawai kesihatan awam MOH bahawa dia pernah melakukan hubungan seks dengan seorang pekerja asing lelaki yang tidak dikenalinya. Mereka bertemu di sebuah tempat awam pada Jun 2017. Selain itu, dia juga pernah melakukan hubungan seks dengan seorang yang tidak dikenalinya di Filipina.

Lelaki itu kemudian mengakui kepada seorang lagi pegawai bahawa dia pernah mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki pertengahan usia pada 2017 di kamar tandas pusat beli-belah Causeway Point.

Pihak pendakwa meminta untuk hukuman yang dijatuhkan, dengan menyatakan bahawa maklumat palsu yang diberikan berhubung pendermaan darah boleh mengakibatkan bahaya yang serius terhadap kesihatan dan keselamatan awam.

"Khususnya, jika darah yang diderma itu dijangkiti HIV, terdapat risiko penyakit itu disebarkan menerusi pemindahan darah kepada penerima yang tidak bersalah," kata pendakwa.

Peguam bela tertuduh bagaimanapun berkata bahawa anak guamannya tidak mampu membayar denda dan memohon untuk hukuman diringankan.

Seorang jurucakap HSA memberitahu Mediacorp bahawa darah lelaki tersebut telah diuji negatif HIV selama lima kali dia menderma darah sebelum ini.

"Makmal HSA mengesan HIV dalam darah penderman tersebut pada kali keenam dia menderma pada 30 Sep 2017," kata jurucakap tersebut. "Darah yang diderma itu diasingkan dan dihapuskan dengan segera. Darah tersebut tidak dipindahkan kepada para pesakit".

Hukuman bagi memberikan maklumat palsu atau menipu berkaitan derma darah adalah tempoh penjara sehingga dua tahun, denda maksimum S$20,000, atau kedua-duanya sekali.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita